Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Tiada cadangan perkenal semula GST, tumpu kurangkan subsidi golongan kaya

SHAH ALAM, 14 FEB: Putrajaya tidak bercadang untuk memperkenal semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luar yang lain.

Sebaliknya, perdana menteri berkata pengurangan subsidi bagi golongan kaya akan terus diperketat seperti yang dilakukan dalam isu berkaitan subsidi elektrik, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga berusaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan liabiliti serta hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion.

“Seperti yang saya jelaskan di Dewan ini dalam sesi lalu, walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah membatalkan rancangan itu.

“(Kita) mengenakannya hanya kepada T20, syarikat multinasional dan syarikat besar, melainkan syarikat yang terbabit dalam keselamatan makanan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Taiping Wong Kah Woh sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenal cukai baharu bagi menangani beban hutang yang dihadapi negara.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memansuhkan GST yang diperkenal Barisan Nasional (BN) bermula April 2015 pada kadar enam peratus.


Pengarang :