Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru, Ampang Jaya pada 23 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas, suri rumah minta awalkan jualan murah, tidak lama berbelanja

Oleh AZIAN AZIZ

CHERAS, 24 FEB: Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat khususnya warga emas dan suri rumah meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempercepatkan waktu perniagaan daripada 10 pagi kepada 9 pagi atau 9.30 pagi.

Zakiah Bujang, 71, dari Taman Chempaka berkata jika waktu program jualan murah itu dipercepatkan warga emas sepertinya tidak perlu berpanas dan menunggu lama.

“Biasanya ramai datang awal sejam atau setengah jam sebelum jualan dibuka untuk beratur dan perlu menunggu dalam tempuh hampir sama untuk giliran membeli.

“Terima kasih pihak penganjur sediakan khemah, kerusi dan barisan khas untuk warga emas tetapi jika jualan dibuka awal kami perlu menunggu lama dan berpanas kerana dalam usia begini memang tak larat,” katanya yang ditemui dalam Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Kampung Cheras Baru semalam.

Zakiah Bujang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zakiah yang telah beberapa kali berbelanja dalam program itu menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri kepada golongan kurang berkemampuan dan sentiasa menganjurkan program yang dapat meringankan beban rakyat.

“Hari ini saya berbelanja RM130.40 dan dapat beli 2 botol minyak masak, dua ekor ayam, dua pek daging, dua pek ikan dan sepapan telur. Memang sangat murah dan jimat,” katanya.

Suri rumah Zaitul Ashikin Zulkifli, 34, yang menetap di Jalan 52, turut menyokong cadangan Zakiah itu berkata pengunjung tidak perlu menunggu lama untuk berbelanja jika program dicepatkan kerana kebanyakan penduduk hadir awal.

“Beratur tunggu jualan dibuka dah makan masa dua jam atau sejam dan untuk membeli pula lebih kurang sama. Kalau boleh saya mohon buka awal sikit,” katanya yang berbelanja RM36 untuk membeli dua ekor ayam, sepapan telur dan satu pek ikan.

Zaitul Ashikin Zulkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zaitul Ashikin yang telah lima kali mengunjunginya bagaimanapun bersyukur kerana dapat berjimat setiap kali berbelanja di jualan murah.

Seorang lagi warga emas Yob Ahmad Kamaruddin, 63, dari Jalan 41, juga bersetuju supaya waktu operasi program itu dipercepatkan kerana majoriti penduduk adalah golongan berusia dan suri rumah.

“Jika bermula awal dapat beratur dan membeli cepat serta kami boleh balik ke rumah juga awal,” katanya yang telah tiga kali berbelanja.

Jualan murah bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian PKPS itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :