Pemilik butik pakaian moden muslim Tabizi Tahir dan Tina Rashidi menunjukkan rekaan pakaian mereka di Kalima Textile, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tuah tinggal kerjaya arkitek, suami isteri raih untung jual kain ela

SHAH ALAM, 24 FEB: Pasangan suami isteri sanggup meninggalkan kerjaya sebagai arkitek dengan pendapatan hampir RM17,000 sebulan demi memiliki perniagaan sendiri.

Itu risiko diambil Tabizi Tahir, 38, dan Tina Rashidi, 33, pengasas Kalima Textile. Tina berhenti kerja pada 2017.

Bermodal RM1,000, ibu kepada dua cahaya mata itu memulakan perniagaan kain ela di rumah dengan menjadikan Instagram platform jualan.

Tabizi dengan gaji mencecah lima angka turut meletak jawatan pada 2021 demi membantu isterinya menguruskan perniagaan.

Ternyata keputusan itu berbaloi apabila dalam tempoh setahun kemudian, mereka memperoleh jualan sejuta ringgit pertama.

Mengimbau fasa awal perniagaan pada 2018, Tina ke Indonesia sebelum ke China bagi mendapatkan lebih banyak bekalan kain ela dengan corak eksklusif dan murah.

Pada awalnya, hanya sedikit kain dibeli berdasarkan tempahan tetapi disebabkan permintaan banyak, beliau memberanikan diri membeli secara pukal.

Pembeli kain ela keluaran Kalima Textile bukan sahaja terdiri daripada individu tetapi meliputi syarikat pengeluar busana jenama terkenal.

Tabizi Tahir dan Tina Rashidi berbincang bersama di Kalima Textile, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sambutan semakin baik. Pada 2021, kami ambil keputusan untuk daftar syarikat sendirian berhad dan buka kedai di sini.

“Pada masa sama, saya berhenti kerja. Masa berhenti kerja gaji lebih RM10,000. Lima bulan pertama urus perniagaan, mula-mula tak ambil gaji. Bulan keenam baru ambil RM5,000 untuk gaji pertama saya.

“Memang bergelut sebab komitmen banyak tetapi kelebihan kerja sendiri ini ada banyak masa dengan keluarga,” kata Tabizi yang berasal dari Kelantan.

Sejuta pertama

Jualan Kalima Textile laris pada Oktober 2021 apabila menerima banyak tempahan syarikat pengeluar pakaian bagi kempen raya 2022.

Dalam tempoh Oktober 2021 hingga musim raya pada Mei 2022, jenama itu mencatatkan jualan lebih RM1 juta.

Selepas berakhir musim perayaan, jualan Kalima Textile terus meningkat kepada RM1.5 juta menjelang Disember 2022.

Selepas itu, Kalima Textile mula mengeluarkan pakaian siap seperti kaftan, abaya, gaun, baju kurung dan kurta.

Perniagaan mereka dibantu tiga tukang jahit mahir. Pasangan itu juga mengupah kilang jahit untuk menghasilkan pakaian rekaan sendiri dalam kuantiti banyak.

Memilih fesyen berkonsep busana sopan, rekaan Kalima Textile sering digayakan selebriti antaranya Neelofa, Ameera Khan, Intan Najwa, Ella, Sherry Ibrahim dan Nabila Razali dalam acara berprestij atau muncul di kaca televisyen.

Menang anugerah

Busana rekaan mereka mendapat pengiktirafan apabila memenangi acara Pemecut Fesyen Selangor anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Oktober 2022.

Kalima Textile menewaskan 21 pesaing apabila meraih anugerah jualan tertinggi dan rekaan terbaik oleh Malaysia Bumiputra Designer Association (MBDA) dalam My Gaya Month 2022 di pusat beli-belah Fahrenheit, Kuala Lumpur.

Pemilik butik pakaian moden muslim Tabizi Tahir dan Tina Rashidi menunjukkan anugerah yang diterima ketika sesi temu bual di Kalima Textile, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami sertai Sidec pada Ogos 2022. Banyak Sidec ajar macam mana penjenamaan dan cara lindungi perniagaan. Sidec ada kelas mingguan. Saya dapat banyak ilmu dalam kelas ini.

“Dulu kalau mahu sertai acara atau ekspo, kena cari tetapi dengan Sidec ini, orang cari kita tawarkan tapak reruai. Masa mula-mula buka reruai, orang tak yakin jenama kita. Sekarang sampai Singapura dengan Brunei orang cari kita,” kata Tina kepada Selangorkini pada 27 Januari.

Selain menyertai Sidec, Kalima Textile juga membuat pinjaman Yayasan Hijrah (Hijrah) RM50,000 untuk modal pusingan bagi kempen raya 2022.

“Mahu buat pinjaman bukan mudah. Ada yang hina kita, takut kita muflis, macam-macam. Mujur ada Hijrah yang pandang kita walau baru naik,” kata Tina.

Ketika ini, pakaian jenama Kalima Textile dipasarkan di butik fesyen berprestij Sofia Iman di pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur City Centre.

Tina dan Tabizi merancang membawa jenama mereka menembusi pasaran di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

 


Pengarang :