Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, Datuk Seri Dr Vijay Eswaran (berdiri, tengah) ketika melancarkan Program Impak Komuniti QIU di Universiti Antarabangsa Quest (QIU), Ipoh pada 31 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

200 remaja B40 dari Selangor terima manfaat kelas bimbingan, motivasi

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Fasa pertama RYTHM Foundation’s Program Sekolah Maharani (MSP) membuahkan hasil yang positif dalam memberikan latihan dan bimbingan secara holistik selama dua tahun untuk remaja perempuan yang kurang bernasib baik.

Ketua RYTHM Santhi Periasamy dalam satu kenyataan hari ini, berkata program selepas sesi persekolahan yang diluluskan Kementerian Pendidikan itu telah memberi kesan ketara kepada kehidupan 200 pelajar dari lima sekolah menengah di Selangor.

Sekolah berkenaan ialah SMK Gombak Setia, SMK Bandar Rinching, SMK Tengku Idris Shah, SMK Batu Unjur dan SMK Tengku Ampuan Jemaah.

“Program ini memperkasakan gadis berumur 14 hingga 16 tahun daripada isi rumah B40 untuk membangunkan kemahiran insaniah dan kompetensi kepimpinan.

“Jurulatih yang dilatih oleh RYTHM, cabang impak sosial Kumpulan QI, mencatatkan 1,600 jam yang mengagumkan sepanjang lapan sesi bersama pelajar sekolah berkenaan tahun lepas,” katanya.

Berikutan kejayaan fasa pertama itu, beliau berkata MSP akan melangkah ke peringkat seterusnya dan berharap dapat memuktamadkan kohort seterusnya ke lima sekolah di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Kami juga berharap Kementerian Pendidikan mengambil alih program itu dan melaksanakannya dalam kurikulum kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Santhi turut memuji jurulatih program kerana memberi kesan kepada perubahan minda yang ketara dalam kalangan pelajar, sambil menyatakan bahawa keyakinan mereka juga meningkat sejak mendaftar dalam program pementoran.

“Dengan kumpulan pertama sekolah, pelajar kelihatan bimbang tentang kami dan MSP. Namun, berkat penglibatan jurulatih, mereka menjadi lebih yakin dan kami dapati peningkatan kehadiran mereka,” katanya.

Seorang tenaga pengajar, Siti Hajar Mohd Kamal, pelajar tahun akhir universiti berkata gadis-gadis itu lebih terbuka untuk berkomunikasi dan menjadi lebih yakin menerusi kit latihan yang diberikan kepada mereka.

Seorang lagi pengajar, Wan Nurazra Marsya Wan Ahmad berkata modul itu membantu pelajar menjadi lebih yakin, dan mendidik mereka cara untuk melahirkan pandangan walaupun pada peringkat awal kehadiran didapati tidak konsisten dan kurang mendapat kerjasama daripada segelintir pelajar.

MSP yang memenangi anugerah telah menyantuni kehidupan lebih 8,000 gadis dan wanita muda sejak program itu diperkenalkan pada 2010 di Sungai Siput, Perak melalui kem motivasi dan kelas bimbingan akademik.

-BERNAMA


Pengarang :