EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berucap sempena sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

237,502 tong sampah diedar secara percuma kepada penduduk negeri

SHAH ALAM, 15 MAC: Sebanyak 237,502 tong sampah MGB120 liter diedarkan secara percuma kepada penduduk di enam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak 2017, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

“Secara keseluruhan, sebanyak 237,502 tong sampah diedarkan kepada rumah-rumah kediaman di kawasan PBT yang terlibat dengan jumlah perbelanjaan RM12.85 juta.

“PBT yang paling banyak mengedarkan tong sampah ialah MBSA iaitu 122,697, diikuti MBPJ (59,491); MPKL (47,495); MPKS (6,140); MPS (1,368) dan MPHS (311),” katanya menjawab soalan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung pemberian tong sampah MGB120 liter percuma pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha berhubung penglibatan PBT lain, Sze Han memaklumkan pemberian tong sampah itu merupakan inisiatif memastikan kawasan pentadbiran masing-masing bersih.

“Pembekalan tong sampah merupakan tanggungjawab setiap penghuni bukannya PBT, tetapi mereka mengambil inisiatif memberi tong sampah percuma di kawasan pentadbiran.

“Usaha ini adalah bagi memastikan kawasan mereka lebih bersih dan pengurusan teratur,” katanya.


Pengarang :