Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meletakkan pam air bergerak di Kampung Parit Aton susulan daerah Batu Pahat mengalami banjir termenung ketika tinjauan pada 15 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor berkurang kepada 35,230 orang petang ini

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 35,230 orang setakat 4 petang ini berbanding 36,086 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi susulan penutupan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Batu Pahat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan PPS yang ditutup adalah Dewan Parit Jayus Darat, Batu Pahat sekali gus menjadikan 114 PPS masih beroperasi di empat daerah setakat ini.

“Batu Pahat daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 35,062 daripada 9,867 keluarga; diikuti Segamat 102 orang (29 keluarga); Muar dengan 42 orang (14 keluarga); dan Tangkak 24 orang (tiga keluarga),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tinjauan di Batu Pahat hari ini mendapati penduduk masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan paras air yang tidak menunjukkan perubahan ketara atau banjir termenung.

Sebahagian besar penduduk juga masih belum dapat membersihkan rumah mereka, misalnya di Kampung Parit Jayus Darat dan Kampung Haji Khalid, yang menyaksikan paras air masih berada pada paras lutut, pagi tadi.

Cuaca diramalkan cerah di sembilan daerah pada petang ini kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Batu Pahat menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan empat laluan di daerah Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan akibat dinaiki air sehingga 0.43 meter.

Jalan tersebut adalah Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung, Jalan Parit Jambi berhampiran Jambatan Parit Jambi, sepanjang Jalan Parit Warijo dan Parit Haji Arif berhampiran Klinik Kesihatan Sri Medan.

– BERNAMA


Pengarang :