Pelajar Unisel mengulang kaji pelajaran bersama rakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ). Foto Facebook Unisel
AGENDANASIONAL

3,000 pelajar Unisel bakal nikmati pelepasan yuran asas tahun ini

SHAH ALAM, 29 MAC: Seramai 3,000 pelajar Universiti Selangor (Unisel) bakal menikmati pelepasan yuran asas RM500 daripada Kerajaan Negeri tahun ini.

Menurut naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) 2,000 daripada jumlah itu pelajar baharu yang akan menyambung pengajian pada sesi April, Julai dan November.

Manakala selebihnya, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata pelajar lama yang sedang mengikuti pengajian peringkat asasi hingga doktor falsafah.

“Berdasarkan bajet diumum tahun ini, kita anggar 2,000 pelajar baharu dapat manfaat tetapi kita masih ada lebihan peruntukan tahun lepas untuk 1,000 pelajar.

“Tahun ini, pelajar baharu yang setuju mendaftar masuk ke Unisel akan disertakan pautan permohonan yuran asas pengajian,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) memudahkan pelajar dan meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah (B40) serta sederhana (M40).

“Inisiatif ini ditawarkan kepada B40 dan M40, namun fokus kita kepada B40 memandangkan 64 peratus pelajar Unisel terdiri daripada golongan ini.

“Jadi ia sudah tentu memudahkan pelajar kerana kos pendaftaran di universiti lain agak mahal berbanding Unisel. Pelajar cuma perlu bayar yuran penginapan sahaja,” katanya.

Program BAYU iaitu pelepasan bagi yuran asas ditawarkan Kerajaan Negeri kepada pelajar Unisel dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor dengan peruntukan RM4 juta.


Pengarang :