Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee (kiri) menyerahkan baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri kepada seorang penerima di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandamaran, Pelabuhan Klang. Foto Tony Leong Tuck Chee
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Pandamaran peruntuk 500 baucar beli-belah sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 29 MAC: Sebanyak 500 baucar beli-belah diperuntuk kepada keluarga memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 akan diagih kepada penerima yang layak dalam program khas pada 9 April.

“Permohonan bantuan ini dibuka sejak 13 Mac lalu dan akan ditutup sehingga kuota penuh. Sehingga kini lebih 200 permohonan sudah diterima.

“Kita mengutamakan individu yang belum menerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas),” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah ketua kampung juga diminta mengenal pasti keluarga susah yang layak mendapat bantuan berkenaan.

“Mungkin ada kalangan mereka tidak tahu bagaimana mahu mendaftar dan menyebabkan mereka terlepas manfaat ini,” katanya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

 


Pengarang :