Wakil rakyat Paya Jaras Khairuddin Othman bergambar bersama penerima bantuan kembali ke sekolah sempena program Back To Shool -Selangor Prihatin di tapak parkir Econsave Sungai Buloh pada 12 Mac 2023. Foto Ihsan Pejabat EXCO
EXCOSELANGOR

3,500 pelajar di DUN Paya Jaras terima bantuan kembali ke sekolah

OLEH DIANA ABD WAHAB

SUNGAI BULOH, 12 MAC: Seramai 3,500 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menerima bantuan kembali ke sekolah RM100.

Wakil rakyatnya Khairuddin Othman berkata daripada jumlah itu 800 baucar diagihkan menerusi fasa pertama bantuan berkenaan hari ini.

“Fasa pertama hari ini kita agihkan 800 baucar kepada penerima manakala fasa kedua kita akan agihkan baucar di Taman Saujana Utama berikutan kawasan ini agak jauh dari Sungai Buloh.

“Jadi kita akan pergi ke sana. Manakala fasa ketiga akan diagihkan mengikuti lokaliti,” katanya pada sidang media sempena program Back To Shool -Selangor Prihatin di sini, hari ini.

EXCO generasi muda berkata sebanyak RM200,000 diperuntukkan pihaknya bagi menjayakan program itu di DUN Paya Jaras.

Beliau berkata sumbangan bantuan kembali ke sekolah itu diberikan kepada dua anak bagi setiap keluarga dan peraturan itu buat bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat manfaat menerusi program tersebut.

“Kita terima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk dan ramai yang mohon namun kita utamakan golongan B40 dan mereka yang terjejas kejadian banjir kilat baru-baru ini untuk terima bantuan.

“Mereka yang berpendapatan RM4,000 namun memiliki anak yang ramai juga kita pertimbangkan untuk terima bantuan kembali ke sekolah,” katanya.


Pengarang :