Ketua Pegawai Kewangan PKNS Nor Azlina Amran (dua, kanan) bersama Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi (kanan) melancarkan Program Ramadan Kasih PKNS di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

5,000 pek bubur lambuk diedar sempena program Ramadan Kasih PKNS

SHAH ALAM, 30 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengedarkan 5,000 pek bubur lambuk bagi berkongsi rezeki bersama kakitangannya dan orang awam menerusi program Ramadan Kasih.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 pek diedarkan kepada warga kerjanya manakala 500 pek lagi untuk orang awam yang akan diagih di Kompleks PKNS Shah Alam, hari ini.

“Bubur lambuk ini akan turut diedarkan sekali lagi kepada 500 pengunjung Kompleks PKNS pada 4 April serta tiga sesi lagi iaitu pada 4,6,11 April kepada anggota kerja PKNS dengan jumlah 1,000 pek setiap edaran.

“Menariknya, bubur lambuk yang kita edarkan ini adalah didatangkan khas daripada Kampung Bharu yang mana penduduk Shah Alam tidak perlu bersusah payah ke sana untuk menikmati bubur lambuk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian program Ramadan Kasih PKNS di ibu pejabat PKNS, Seksyen 14 di sini.

Ketua Pegawai Kewangan PKNS Nor Azlina Amran (dua, kiri) bersama Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi (dua, kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada warga kerjanya ketika majlis pelancaran Program Ramadan Kasih PKNS di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, menerusi program Ramadan Kasih PKNS menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mengecat rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) di Bandar Tasik Puteri pada 18 Mac lalu.

Selain itu, menerusi program sama, seramai 30 kakitangan agensi itu turut menyantuni dan menyerahkan raga makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman pada 21 Mac.

Kemudian, PKNS turut memperuntuk RM10,000 untuk agihan bakul makanan menerusi program Bekal Ramadan Kasih kepada 50 penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan orang tua pada 26 Mac.

Bubur lambuk diagihkan kepada kakitangan dalaman PKNS ketika Majlis pelancaran Program Kasih Ramadan PKNS di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 30 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :