EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) meyaksikan petukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara STDC dan YIDE ketika majlis menandatangani kerjasama Program Kemahiran Penghuni Rumah Anak Yatim seluruh Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

80 peratus lepasan pusat kemahiran negeri ditawar kerja, penuhi kehendak pasaran

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebanyak 80 peratus daripada lebih 200 graduan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) ditawarkan kerja dalam pelbagai bidang tahun lalu.

Pengurus pusat bertauliah STDC berkata majoriti graduan yang mengikuti pengajian dalam 10 kursus di institusi terbabit lulus sesi temu duga yang dijalankan pemain industri.

“Sebelum menduduki peperiksaan akhir, ada pemain industri akan hadir ke STDC untuk buat temu duga kerana kita memang sasarkan penuntut terus bekerja sebaik tamat pengajian.

“Bagaimanapun kita juga menggalakkan mereka daripada kursus tertentu misalnya elektrik, pendawaian dan automotif untuk naik tahap bagi menjamin pekerjaan,” kata Norzilawati Md Said.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelan pembangunan modal insan pasca rumah perlindungan dan anak yatim Selangor antara STDC dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di sini hari ini.

Sementara itu, Norzilawati menyasarkan kira-kira 500 pelajar baharu berdaftar di STDC tahun ini bagi sesi Mac, Mei dan Jun untuk mengikuti pengajian dalam 10 kursus ditawarkan.

“Untuk sesi Mac sahaja hampir 100 pelajar baharu berdaftar. Kita masih ada kekosongan kelas untuk ditawarkan kepada anak Selangor khususnya bagi penajaan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS),” katanya.

Kursus disediakan STDC meliputi elektrik, motosikal, penyamanan udara, automotif, penyemburan cat, sistem komputer, pereka fesyen wanita, kulinari, pastri dan terapi spa.

STDC merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk merencana Agenda Pendidikan Unggul bawah strategi Belanjawan 2020.

Menerusi langkah itu, STDC menawarkan pelbagai latihan teknikal dan vokasional yang berkualiti dan berdampak tinggi ke arah Revolusi Industri 4.0.


Pengarang :