Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada Jelajah Ehsan Rakyat DUN Teratai di Taman Muda, Ampang Jaya pada 2 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Teratai anjur jualan murah sempena Ramadan pada 25, 26 Mac

Oleh Azian Aziz

AMPANG JAYA, 2 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai menganjurkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) khas sempena Ramadan pada 25 dan 26 Mac ini.

Penolong Penyelaras DUN Teratai Firdaus Babh berkata jualan murah barangan dapur tersebut akan diadakan di Surau Islamiah Tasik Permai pada Sabtu dan Surau Taman Saga (Ahad).

Penolong Penyelaras DUN Teratai Firdaus Babh. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Untuk JER khas ini selain enam barangan asas, barangan kering jenama Ehsan dan barangan rakan strategik Pertubuhan Agropeneur Selangor (Agrosel) turut dijual dengan harga rendah.

“Semoga jualan ini dapat membantu menjimatkan perbelanjaan penduduk di bulan Ramadan,’’ katanya ketika ditemui dalam program JER DUN Teratai di Taman Muda, Ampang di sini.

Menurut Firdaus sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 26 program JER dijalankan di DUN Teratai yang memanfaatkan 10,000 keluarga terutama golongan berpendapatan rendah.

“Program JER terdekat akan diadakan pada Sabtu ini (4 Mac) di Surau Islamiah Tasik Permai dan penduduk sekitar dijemput hadir,’’ katanya.

Sementara itu, Penyelia Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Amran Ismail memberitahu kira-kira 400 penduduk datang secara berperingkat untuk membeli barangan dan mereka mula beratur seawal pukul 8 pagi.

“Lima barangan asas habis dijual dan minyak masak hanya berbaki 50 botol. Kita memberi 300 nombor giliran kepada penduduk yang datang awal dan 100 lagi perlu beratur untuk membeli barangan,’’ katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :