Pelajar Sekolah Sri Bestari, Bandar Sri Damansara yang menyertai kempen ‘Wira Penjimatan Air’ anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Air Selangor
AGENSISELANGOR

Kempen jimat air pupuk kesedaran anak muda pulihara air

SHAH ALAM, 31 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan kempen ‘Wira Penjimatan Air’ bagi memupuk kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan generasi muda.

Menurut agensi itu, kempen selama 12 bulan melibatkan penyertaan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun sebagai usaha memastikan kemampanan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Air Selangor memasang papan pameran dan demonstrasi di tapak untuk pelajar mengetahui lebih lanjut tentang tip dan amalan pemuliharaan air dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif.

“Satu pertandingan turut diadakan bagi menjana idea yang lebih kreatif dan penglibatan aktif pelajar bagi pemuliharaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agensi itu berkata wakil pelajar akan dilatih sebagai jurucakap awam untuk Air Selangor dalam menjadi ‘wira’ penyebaran maklumat tip penjimatan air melalui program kesedaran antara sekolah.

“Program ini melibatkan wakil pelajar berbicara kepada rakan dari sekolah lain bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang pemuliharaan air,” katanya.

Sebagai permulaan, kempen diadakan di Sekolah Sri Bestari, Bandar Sri Damansara dengan penyertaan lebih 400 pelajar dan guru.

Kempen sama akan disertai Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 2; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak; Sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinrara Puchong.


Pengarang :