Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Dialog Perdana Putrajaya 2023 bertemakan Membangun Negara Madani di Hotel Zenith Putrajaya pada 20 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konsep Madani bukan sekadar slogan, tekad bentuk masyarakat lebih baik

PUTRAJAYA, 20 MAC: Konsep Malaysia Madani yang diperkenal Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar slogan kerajaan semata-mata untuk mencirikan kepimpinannya sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep berkenaan membawa tekad Malaysia ke arah kehidupan lebih baik buat masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.

“Sebaik perdana menteri memberi pandangan tentang negara Madani, secara lazim banyak beri pandangan positif, negatif serta ada juga teruja.

“Bahkan, ada juga menganggap bahawa ia satu slogan kerajaan ditampilkan perdana menteri yang mencirikan kepimpinan beliau,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderahati ketika Dialog Perdana Putrajaya 2023 bertemakan Membangun Negara Madani di Hotel Zenith Putrajaya pada 20 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berucap pada majlis Dialog Perdana Putrajaya bertemakan Membangun Negara Madani di Hotel Zenith di sini hari ini, Ahli Parlimen Gombak mengajak semua pihak mendalami dan memahami sekali gus menjayakan konsep berkenaan.

“Selaku penjawat awam, pentadbir yang mengurus dalam membawa arus pembangunan, sudah tiba masanya mendalami dan memahami supaya Madani bukan menjadi satu slogan disampaikan dalam ucapan tetapi dihayati.

“Ini kerana Madani pelaksanaannya disampaikan menerusi program-program kerajaan dan paling baik ia sampai ke tahap akar umbi di peringkat bawah,” katanya.

Amirudin dalam ucapannya juga menjelaskan konsep Madani bertitik tolak dengan situasi semasa dan persekitaran yang sentiasa berubah seiring peredaran zaman.

“Evolusi pembangunan bandar berubah serta tugas sebagai perancang bukan hanya meletak bongkah-bongkah bangunan dan infrastruktur atas tanah, udara serta air.

“Jika memisahkan diri dengan alam dan keadaan sekeliling, perancangan serta pengurusan bandar menjadi kaku.

“Sebab itu enam cabang diletakkan dalam masyarakat Madani seperti kemampanan, daya reka bentuk, ihsan, kesejahteraan sosial adalah untuk menjawab kepada persekitaran dan keadaan berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik peluncuran buku Membangun Malaysia Madani selepas menyampaikan amanat di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Perdana Menteri memperkenalkan konsep Madani sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.

Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan secara rasmi pada 19 Januari lepas , diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.


Pengarang :