Petugas Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan pemeriksaan tahap kebersihan di sebuah restoran di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dalam operasi bersepadu pusat komersil pada 14 Mac 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Langgar syarat, MBSJ kompaun restoran buka 15 gerai dalam premis

OLEH SHAMZ JOHAN

SUBANG JAYA, 14 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan kompaun ke atas sebuah restoran di kawasan komersial Puncak Jalil PUJ 3/1 – PUJ 3/7, Seri Kembangan hari ini selepas didapati melanggar had bagi gerai di dalam premis.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MBSJ Muhammad Iskandar Z Azmi berkata premis makanan itu melakukan kesalahan dengan membuka sehingga 15 unit gerai.

“Mengikut Syarat-Syarat Khas Lesen Premis Makanan, hanya dua unit gerai dibenar dibuka untuk premis lot tengah manakala lima bagi premis lot tepi.

“Kita juga menasihatkan pemilik restoran memohon permit kerusi meja sebelum meletakkannya di kaki lima,” katanya selepas operasi bersepadu pusat komersil di Taman Puncak Jalil di sini.

Beliau berkata setiap kesalahan boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 dan sekiranya pemilik premis masih ingkar, tindakan sita akan dibuat serta lesen perniagaan dibatalkan.

Terdahulu operasi di Jalan PUJ 1 sehingga Jalan PUJ 6 itu disertai 56 anggota penguat kuasa termasuk dua pegawai melibatkan enam jabatan dalaman MBSJ iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Bangunan.

“Tumpuan kita adalah premis menjalankan perniagaan tanpa lesen, melakukan kesalahan halangan di tempat awam dan siar kaki, bengkel kenderaan beroperasi tanpa lesen, pembinaan tanjakan (ramp) serta membina struktur bangunan tambahan tanpa kebenaran.

“Kita juga melibatkan penguatkuasaan kenderaan buruk dan terbiar, pemantauan restoran dari segi pematuhan syarat pelesenan, permit kerusi meja dan juga halangan kaki lima,” katanya.


Pengarang :