Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA
ADNSELANGOR

Lebih 100 pesawah terjejas di DUN Sabak terima bantuan RM200, alatan tani

SHAH ALAM, 28 MAC: Lebih 100 pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak yang terjejas susulan ancaman hama menerima bantuan RM200 daripada Kerajaan Negeri.

Wakil rakyatnya Ahmad Mustain Othman berkata kesemua mereka turut menerima insentif pembelian barangan pertanian dan benih padi.

ADN Sabak Ahmad Mustain Othman ketika diwawancara Media Selangor di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sabak pada 27 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Perkara ini (ancaman hama) sudah berlaku sejak 12 musim lalu atau bersamaan dengan enam tahun. Setiap tahun, hasil padi di sini akan menurun.

“Sebelum ini kita boleh dapat purata sembilan tan setiap musim, tetapi tahun ini buat pertama kalinya, tiada hasil langsung, kosong,” katanya.

Pemandangan sawah padi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak ketika tinjauan pada 27 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ahmad Mustain menambah, selain serangan hama, pesawah turut berdepan kejadian tanah jerlus di 62 lot sawah yang dipercayai berpunca dari perubahan cuaca.

Menurutnya, kebanyakan pesawah tidak mahu meneruskan lagi aktiviti pertanian dan beralih mengusahakan rumah inap desa di tanah berkenaan yang memberi keuntungan lebih lumayan.

“Pesawah yang berkemampuan, mereka akan tukarkan kepada rumah inap desa. Tetapi bagaimana pula dengan petani yang miskin dan tiada sumber pendapatan lain?

“Saya bimbang masalah ini semakin melarat. Saya amat berharap kerajaan menerusi agensi mereka, tampil untuk bantu kami selesaikan isu ini,” katanya.


Pengarang :