Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua, kiri) memetik cili selepas mengadakan lawatan tapak bagi Inisiatif Usahawan Tani (Intan) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB arah PBT kenal pasti tanah lapang bagi tanaman fertigasi

PETALING JAYA, 21 MAC: Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti tanah lapang di kawasan masing-masing untuk dijadikan tapak bagi projek tanaman fertigasi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi menyokong Inisiatif Usahawan Tani (Intan), yang menjadi komponen penting dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diperkenal kerajaan persekutuan.

“Kita mahu pastikan ia (Intan) berjaya dan paling penting sampai kepada sasaran, jadi saya arah PBT kenal pasti antara 20 hingga 50 ekar tanah (untuk dijadikan tapak projek).

“(Tanah itu) tidak semestinya di bawah rintis TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan kerajaan. Saya harap ia dapat dijalankan dan menjadi model terbaik untuk tingkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau berucap sempena pelancaran IPR Intan @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Kos Rendah Pelangi Damansara di sini hari ini, yang disempurnakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.

Dalam pada itu, Amirudin berkata PJ City Food Valley yang menumpukan tanaman cili atas tanah seluas 80 ekar mempunyai skala ekonomi besar, tidak seperti kebun komuniti yang dilaksana sebelum ini.

“Kebun komuniti lebih kepada sosial, hobi dan kitaran ekonomi tidak besar. Bagaimanapun, PJ City Food Valley ada skala ekonomi tersendiri. Saya percaya ia boleh segera dilaksana dengan kerjasama PKPS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya,” katanya lagi.


Pengarang :