Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras mendapatkan barangan murah pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Taman Impian Indah, Sungai Buloh pada 21 Mac 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk lega jualan PKPS terus dianjur ketika Ramadan

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 21 MAC: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras lega Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan jualan murah ketika Ramadan.

Suri rumah, Susilawati Mesti, 43, memuji Kerajaan Negeri kerana prihatin kebajikan rakyat apabila melanjutkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sehingga Mei.

Susilawati Mesti

“Langkah Kerajaan Negeri amat bagus dan bagi saya ia sangat memahami keperluan rakyat golongan berpendapatan rendah seperti kami.

“Saya tetap akan beli di sini (JER) kerana harga murah, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, harga barang sering naik,” katanya pada JER peringkat DUN berkenaan hari ini.

Suriani Awang

Manakala Suriani Awang, 29, dari Kampung Mertang Jaya turut bersetuju dengan penganjuran jualan berkenaan pada Ramadan nanti.

“Saya memang setuju kerana ia sangat membantu meringankan beban penduduk, selepas ini nak buat persiapan Aidilfitri pula. Jadi, ada jualan murah ini dapatlah berjimat,” kata suri rumah empat anak itu.

Zabidin Abdullah

Bagi operator kilang, Zabidin Abdullah, 45, beliau mahu program JER diteruskan kerana membantunya mengurangkan perbelanjaan.

“Sejak ada program JER, perbelanjaan kami berkurang. Saya mohon diteruskan lagi, jika tak dapat (anjur) kerap pun, sebulan sekali sudah memadai,” katanya.

Terdahulu, lebih 400 pengunjung hadir ke jualan murah di Taman Impian Indah, Sungai Buloh di sini sejak jam 9 pagi.

Sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember lepas, JER berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah itu diperluas ke 1,200 lokasi sejak 16 Januari hingga menjelang Mei.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam standar RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) serta beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :