Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran dan penyerahan Bakul Rahmah peringkat Selangor 2023 di Kuala Selangor pada 25 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Inisiatif Payung Rahmah usaha semai kasih sayang dalam masyarakat

KUALA SELANGOR, 26 MAC: Program Payung Rahmah merupakan sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan menyemai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.

Dato’ Menteri Besar berkata biarpun program itu pernah ditertawakan di peringkat awal, namun kini mendapat sambutan baik pelbagai pihak khususnya Menu Rahmah.

“Sebelum ini kita dengar Menu Rahmah dan Jualan Rahmah ditertawakan, sinikal serta ada yang kata sekadar populis, tidak menyebar kepada masyarakat. Tetapi kini, apa yang diusulkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan mendapat sambutan baik.

“Ada juga yang ingin mengatakan usaha ini menekan peniaga khususnya masyarakat bumiputera, namun kini syarikat konglomerat besar, rangkaian restoran antarabangsa memperkenal inisiatif tersebut kepada masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis pelancaran dan simbolik penyerahan Bakul Rahmah di sini semalam yang turut dihadiri EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Awal tahun ini, Kerajaan memaklumkan akan memperkenalkan program Payung Rahmah bagi membantu golongan B40 bersedia mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata program itu adalah langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan ini, dengan ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.


Pengarang :