Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah bergambar bersama penduduk di taman permainan SS20/26 pada 22 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Naik taraf padang rekreasi SS20 zon utara beri keselesaan kepada penduduk

OLEH AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 22 MAC: Penduduk SS20 zon utara di sini kini boleh beriadah dengan lebih selesa apabila kemudahan di padang rekreasi kawasan itu siap dinaik taraf sepenuhnya awal bulan ini.

Wakil rakyat Bandar Utama berkata kemudahan itu disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membabitkan peruntukan RM39,000.

“Usaha menaik taraf padang ini merupakan kerjasama pejabat saya, Ahli Majlis, MBPJ dan komuniti di sini.

“Padang ini juga dinaik taraf mengikut permintaan dan keperluan penduduk,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui meninjau padang tersebut hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk akan memanfaatkan padang berkenaan dan menjaga kemudahan itu dengan baik kemudahan.

“Ini adalah padang ketiga yang dinaik taraf di kawasan SS20 selepas padang di zon selatan dan tengah,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk SS20 Datin Nursiah Sulaiman berterima kasih kepada wakil rakyat, MBPJ dan semua yang membantu mengusahakan naik taraf padang itu.

“Padang ini bukan sahaja digunakan penduduk malah pelajar sekolah berdekatan dan sesuai untuk warga emas yang ramai di sini beriadah dan bersantai,” katanya.

Padang tersebut dilengkapi taman permainan kanak-kanak, trek jogging, gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton, laluan OKU, meja, kerusi, tong sampah dan ruang cergas.


Pengarang :