KLANG, 14 MAC: Kerajaan Negeri menyediakan biasiswa sehingga RM250,000 kepada 30 belia terawal yang layak mengikuti kursus teknikal dan latihan vokasional (TVET) di Akademi Carsome mulai April.
Dato’ Menteri Besar berkata biasiswa itu ditawarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun, anak Selangor atau menetap di negeri ini melebihi lima tahun.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari syarat lain melayakkan mereka memohon biasiswa itu termasuklah purata pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,000, tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk menjalin kerjasama rapat antara pihak awam dan swasta bagi memperkukuh industri TVET di Malaysia.
“Menerusi program ini dan beberapa kerjasama lain boleh membantu kami merealisasikan lebih banyak matlamat strategik jangka panjang Kerajaan Negeri.
“Justeru, kami terus mengalu-alukan dan menyokong kerjasama erat dengan Akademi Carsome sebagai rakan kongsi yang teguh dalam menyokong aspirasi TVET di Selangor,” katanya menerusi teks ucapan.
Teks ucapan itu dibacakan oleh EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Ng Sze Han pada majlis pelancaran biasiswa TVET Selangor untuk pelajar Akademi Carsome di Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja di sini semalam.
Menerusi teks ucapan sama, Amirudin berkata pelajar Akademi Carsome yang berjaya menamatkan pengajian, boleh memohon sebarang jawatan kosong di situ atau di mana-mana syarikat automotif.
“Carsome juga mengambil inisiatif membentuk kerjasama erat dengan rakan kongsi industri bagi mendapatkan penempatan kerja untuk pelajar mereka selepas tamat pengajian seperti Safeguards, SOCAR, HZN Cars, Top Body Auto Garage dan banyak lagi.
“Saya percaya usahasama ini akan menjadikan program di Akademi Carsome lebih menarik untuk belia kita,” katanya lagi.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung Biasiswa TVET Selangor kepada pelajar Akademi Carsome, boleh melayari carsomeacademy.my/scholarship_2023/