EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri semak semula syarat mudahkan daftar taska di rumah

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Selangor akan menyemak semula syarat berkaitan bagi menyeragam, memudahkan urusan permohonan dan mengalakkan pendaftaran pusat asuhan di rumah.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata syarat sedia ada yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlalu ketat serta mengikut piawaian sama dengan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan sesi libat urus bersama PBT dan agensi berkaitan turut diadakan baru-baru ini bagi mengenal pasti isu garis panduan, perancangan dan keperluan teknikal.

“Sesi libat urus ini inisiatif awal Kerajaan Negeri untuk mencari alternatif bersesuaian bagi memudah dan menyeragam syarat permohonan pengusaha taska di rumah meliputi semua aspek,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei berhubung cadangan menyemak semula syarat pengasuh beroperasi di rumah dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga mengeluarkan taska yang beroperasi di rumah daripada Akta 308 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Ini berikutan peraturan itu hanya diperuntuk kepada taska institusi, taska tempat kerja dan taska komuniti,” kata Dr Siti Mariah yang juga wakil rakyat Seri Serdang.


Pengarang :