EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanja RM100,000 pasang lampu LED solar seluruh negeri

SHAH ALAM, 17 MAC: Sejumlah RM100,000 dibelanja bagi pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata inisiatif menerusi Projek Selangor Penyayang menggunakan sumber kewangan Tabung Akaun Amanah Kutipan Caj Beg Plastik yang diselaras Unit Perancang Ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri melihat sudut positif pemasangan projek lampu solar ini yang dapat meningkatkan keselamatan penduduk setempat serta mengurangkan kos penyelenggaraan lampu jalan pihak berkuasa tempatan.

“Penggunaan lampu solar turut menjimatkan tenaga dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat selain menjadikan Selangor negeri rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Loy Sian berkata dalam masa sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) giat memasang lampu berkenaan di kawasan riadah, jalan raya dan blok kediaman.

“Pemasangan ini mampu menyumbang kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan produk teknologi hijau berkualiti tinggi.

“Ia turut membantu mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” katanya.

Sempena istiadat pembukaan DNS pada Isnin, Sultan Sharafuddin berkenan Selangor terus menjadi negeri lestari dan hijau, selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar.

Titah Baginda pemerkasaan undang-undang alam sekitar dan aktiviti penguatkuasaan juga perlu terus dilaksana berikutan kemerosotan alam sekitar akan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.


Pengarang :