Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (dua, kanan) menyerahkan Anugerah Badan Pengurusan Bersama (JMB) terbaik kategori kos sederhana kepada Pengerusi JMB Pangsapuri Putra Permai 1A Nor Mohamad Zin Mohamad Naim (dua, kiri) dalam sebuah majlis di Shah Alam pada 20 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pantas atasi masalah, jaga keselamatan antara faktor menang JMB terbaik

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 MAC: Kejayaan mengurus dan menyenggara kediaman melayakkan beberapa pangsapuri dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima Anugerah Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Anugerah Perbadanan Pengurusan (MC) terbaik.

Anugerah JMB pangsapuri kos tinggi diberikan kepada Pangsapuri One Soho, Pangsapuri Putra Permai 1A (kos sederhana) manakala Pangsapuri Sri Kesidang (MC terbaik kos sederhana).

Ketiga-tiga kediaman tersebut turut menerima Anugerah Pengurusan Lima Bintang sempena Majlis Anugerah Komuniti Strata (Aksara) 2022 MBSJ di Hotel Mardhiyyah di sini malam tadi.

Bendahari JMB One Soho Chan Nam Kiong

Bendahari JMB One Soho Chan Nam Kiong berkata pihaknya berbelanja besar memasang lebih 160 kamera litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan penduduk selain komited bekerjasama dalam pelbagai hal.

“Pangsapuri yang dihuni sejak 10 tahun lalu mempunyai 400 unit dengan jumlah penduduk lebih 1,000 orang. Kami sentiasa cuba menyelesaikan pelbagai masalah penduduk termasuk berkaitan peraturan.

“Jika ada yang membuang sampah merata-rata, kami pastikan mereka didenda dengan rakaman CCTV sebagai bukti dan lapor kepada polis jika ada kes jenayah,” katanya ketika ditemui.

Pengerusi JMB Pangsapuri Putra Permai 1A pula berkata kemenangan itu menyuntik semangat jawatankuasa untuk terus memberikan yang terbaik buat 1,800 penduduk di situ.

“Kami sentiasa cuba menyelesaikan masalah penduduk dengan pantas contohnya bumbung bocor dan mengadakan mesyuarat dan aktiviti kemasyarakatan setiap bulan,” kata Nor Mohamad Zin Mohamad Naim.

Sementara itu, wakil MC Pangsapuri Sri Kesidang Elizabeth Standley berbangga kerana memenangi anugerah tersebut dan akan terus bersemangat untuk menaik taraf pangsapuri berkenaan.

 

 


Pengarang :