EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (enam, kiri) bergambar selepas merasmikan program Teknologi Hijau Lampu LED Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana di Dewan Serbaguna Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana pada 19 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pengurusan pangsapuri jimat 50 peratus bil utiliti selepas guna lampu LED

Oleh DIANA ABD WAHAB

SEPANG, 20 MAC: Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Seroja Taman Putra Perdana Puchong di sini dapat berjimat bil penyelenggaraan sehingga 50 peratus selepas menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED).

Bendaharinya Mohamad Nasiruddin Othman berkata pangsapuri yang terdiri daripada 10 blok itu memiliki 1,350 unit lampu dengan kos penggunaan mencecah RM10,000 sebulan.

Mohamad Nasiruddin Othman

“Lampu LED ini mula dipasang pada September tahun lalu menerusi fasa pertama yang menumpukan pada pemasangan lampu koridor di semua 10 blok. Kita dapati ia sangat efisyen dan bantu kurangkan bayaran utiliti sebanyak 50 peratus.

“Selepas dua bulan kita dapat lihat penjimatan kita teruskan pemasangan 56 lampu bertiang di seluruh kawasan pangsapuri ini menerusi fasa kedua,” katanya.

Beliau ditemui pada program Teknologi Hijau Lampu LED di pangsapuri berkenaan semalam. Majlis dirasmikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Mohamad Nasiruddin menambah Synergy Group selaku syarikat yang membekalkan sistem berkenaan memberi jaminan lampu itu mampu bertahan sehingga 10 tahun tanpa perlu diselenggara.

“Sebelum ini JMB Pangsapuri Seroja peruntuk RM3,000 untuk tukar lampu setiap bulan malah memberi keselesaan kepada penduduk berikutan pencahayaan lebih terang.

“Selepas buat kiraan dalam tempoh 10 tahun jika tak perlu diselenggara kita dapat jimat kos penyelengaraan lebih RM500,000.

“Selain penjimatan yang dapat ringankan beban kewangan JMB kerana kita tak perlu lagi sediakan tenaga kerja untuk lakukan kerja penyelenggaraan, perkara utama yang jadi keutamaan kita adalah keselamatan penduduk,” katanya.


Pengarang :