Pasukan MBSJ FC menjulang piala Liga Super Wanita FAS 2023 di Stadium MBPJ pada 19 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASELANGORSUKANKINI

MBSJ FC atasi cabaran UPNM, juarai Liga Super Wanita FAS

PETALING JAYA, 19 MAC: Pasukan bola sepak wanita MBSJ FC muncul juara Liga Super Wanita FAS 2023 menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 selepas terikat 1-1 dengan UPNM FC dalam aksi perlawanan akhir hari ini.

Skuad kendalian ketua jurulatih Mohd Fairuz Mohd Noor itu sememangnya harus diberi pujian apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan sebelum mengheret aksi ke penentuan penalti.

UPNM FC memberi kejutan apabila tidak menunggu lama untuk meraih gol pertama seawal 39 saat permainan bermula hasil jaringan Nurul Arliana.

Namun, pada minit ke-23 MBSJ FC bangkit menyamakan kedudukan apabila jaringan Lyana Soberi membolosi gawang lawan.

Perlawanan terikat 1-1 hingga ke minit akhir permainan dengan tendangan penalti dijalankan bagi menentukan pemenang.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu serta menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan hadiah.

Liga Super Wanita FAS 2023 menyaksikan 12 pasukan berentap merebut gelaran juara.

Terbahagi kepada dua kumpulan, perlawanan peringkat berkumpulan bermula pada 8 Februari lalu di Radia Arena Bukit Jelutong manakala bagi peringkat kalah mati di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir MBSJ FC menewaskan Kelana United 8-7 manakala UPNM FC menang ke atas FC Spicegals 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.


Pengarang :