Pengunjung merakam gambar sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program bertaraf antarabangsa jadikan Selangor pintu gerbang ekonomi Asia

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Penganjuran beberapa program bertaraf antarabangsa sejak beberapa tahun ini menjadikan Selangor sebagai pintu gerbang ekonomi Asia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha bersungguh-sungguh negeri menjayakan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Pameran Udara Selangor (SAS) dan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) turut memperkenalkan produk dan usahawan tempatan ke mata dunia.

“Ini tanda keyakinan kita dan usaha bersungguh-sungguh untuk jadikan Selangor sebagai pintu gerbang Asia, pintu masuk ke rantau ini.

“Justeru kita akan terus bekerja untuk penuhi impian dan pastikan ia dapat dilaksana sebaiknya. Kita bermula kecil dan semakin berkembang.

“Kita mampu tarik pelabur dalam dan luar negara. Kita juga dapat membugarkan ekonomi serta bantu perkembangan negara,” katanya pada sidang media perasmian Selhac 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Selangor memperkenalkan SIBS pada 2016 dan penganjuran setiap tahun menarik minat ratusan syarikat termasuk dalam dan luar negara. Tahun lalu SIBS mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion, jauh lebih tinggi berbanding sasaran RM350 juta.

Manakala SAS dianjurkan mulai 2021 bagi mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.


Pengarang :