AGENSISELANGOR

2,511 kes denggi dicatatkan di kawasan MPKj sehingga 8 April

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebanyak 2,511 kes denggi dicatatkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dari Januari hingga 8 April lalu.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata jumlah itu hampir 70 peratus daripada kes yang dicatatkan di seluruh daerah Hulu Langat iaitu 3,618.

“Mengikut statistik, Hulu Langat mencatatkan kes denggi kedua tertinggi di Selangor iaitu 3,618 kes dan jumlah itu meningkat 56 peratus dalam tempoh sama tahun lalu yang mencatat 2,068 kes.

“Bagaimanapun untuk kedua-dua tahun tiada kematian dicatatkan,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat MPkj di Menara MPKj hari ini.

Najmuddin berkata 99 lokaliti dicatatkan berlaku kes denggi di pentadbiran MPKj dengan tiga lokaliti dikenal pasti sebagai hotspot masing-masing satu kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Sungai Ramal dan Balakong.

Katanya di DUN Kajang sahaja terdapat 25 lokaliti melibatkan sembilan zon iaitu 3, 9, 10, 11, 12, 13, 14, 15 dan 22 (Taman Sungai Kantan).

“Kes terbaharu denggi yang direkodkan di MPKj ialah 165 kes iaitu antara 2 hingga 8 April lalu,” katanya.

Untuk rekod di seluruh Selangor sebanyak 15,725 kes denggi dicatatkan dengan tiga kematian sehingga kini.


Pengarang :