Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj bersama penerima baucar Jom Shopping Aidilfitri di Econsave Kampung Jawa pada 10 April 2023. Foto Facebook Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

500 keluarga B40 di DUN Sentosa terima baucar beli-belah Aidilfitri

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 500 keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima baucar beli-belah bernilai RM200 sempena Aidilfitri.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata penyerahan baucar dengan jumlah keseluruhan RM100,000 dilaksanakan secara berperingkat bermula Ahad lalu bagi meringankan beban penerima.

“Semoga pemberian baucar oleh Kerajaan Negeri dapat meringankan beban perbelanjaan penerima menjelang musim perayaan dan kita harap Aidilfitri tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun lalu yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pendaftaran bagi baucar itu dilakukan tiga minggu sebelum ia mula diedarkan kepada penerima di Econsave Kampung Jawa.

Jom Shopping Perayaan merupakan bantuan sempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban puluhan ribu keluarga kurang berkemampuan untuk membuat persiapan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar terbabit menerusi Belanjawan Selangor 2023 dengan kadar inisiatif dinaikkan RM100 untuk setiap keluarga.

Had pendapatan bulanan isi rumah turut ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan dan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.

 

 

caption: Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj bersama penerima baucar Jom Shopping Aidilfitri di Econsave Kampung Jawa pada 10 April 2023. Foto Facebook Dr G Gunaraj


Pengarang :