Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah ketika ditemu bual media selepas program Jelajah Ehsan Rakyat mega DUN Tanjung Sepat di Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat, Sepang pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

750 keluarga kurang mampu di Tanjung Sepat terima baucar Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 750 keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat menerima baucar beli-belah bernilai RM200 sempena Aidilfitri.

Wakil rakyat Borhan Aman Shah berkata 550 kupon skim Jom Shopping Perayaan disediakan Kerajaan Negeri manakala baki 200 lagi daripada peruntukan Pusat Khidmat DUN.

“Kita sedar ramai yang memerlukan bantuan untuk menyediakan kelengkapan raya sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan.

“Jadi kita keluarkan peruntukan sendiri untuk pastikan lebih ramai penduduk dapat dibantu. Kita mahu semua raikan Aidilfitri dengan meriah dan gembira,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah penerima boleh menebus nilai baucar di pasar raya Econsave di Banting.

Sempena Aidilfitri tahun ini seramai 37,250 keluarga kurang mampu menerima baucar beli-belah berjumlah RM200, meliputi peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.45 juta.

Skim berkenaan merupakan bantuan bersempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan.

Tahun ini, kadar inisiatif dinaikkan kepada RM200 setiap keluarga selain had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar tersebut yang akan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.


Pengarang :