Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu pembelian lima komputer riba pada sidang media di pejabatnya pada 26 April 2023. Foto Facebook Wide Media TV)
ADNSELANGOR

ADN Rawang lapor polis nama diguna isu penipuan komputer riba

Oleh Diada Abd Wahab

SHAH ALAM, 27 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang membuat laporan polis selepas namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan.

Chua Wei Kiat berkata pihaknya mengesan cubaan pihak tertentu menggunakan nama pusat khidmat masyarakatnya menipu syarikat pembekal komputer riba akhir bulan lalu.

“Isu timbul ekoran tindakan seorang pengguna akaun Facebook palsu yang menyamar sebagai pihak Pusat Khidmat Rakyat DUN Rawang untuk membuat pembelian komputer riba kononnya bagi tujuan penganjuran e-sukan.

“Akaun Facebook itu menghubungi syarikat IP Maker Solution untuk bertanya sebut harga bagi mendapatkan lima komputer riba menggunakan emel khidmat [email protected] dan cop palsu,” katanya seperti dilapor Wide Media TV.

Menurut Wei Kiat atas permintaan itu, syarikat tersebut telah membuat pembelian dan menunggu pihaknya untuk mengambil lima komputer riba terbabit.

Beliau yang juga timbalan ketua penerangan KEADILAN Selangor berkata pekerja syarikat itu kemudian datang ke pejabatnya kerana telah menunggu tiga minggu tanpa sebarang jawapan.

“Bila wakil syarikat tersebut datang ke pejabat sebelum Aidilfitri maklumkan tentang komputer riba dan minta ambil, saya terkejut kerana tak buat sebarang tempahan.

“Taktik terbongkar apabila akaun Facebook itu meminta supaya komputer riba dihantar menerusi perkhidmatan p-panggilan sedangkan pejabat syarikat terletak selang beberapa premis dari pejabat saya.

“Berdasarkan maklumat syarikat berkenaan pihak saya telah membuat laporan polis pada 20 April lalu untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata semua komputer riba yang dibeli oleh syarikat terbabit bernilai RM17,495.

Beliau menasihatkan semua pihak berhati-hati sekiranya berdepan dengan situasi sama bagi mengelak menjadi mangsa.


Pengarang :