Keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Foto Facebook LLM
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Lebih 3 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya Karak, LPT1

KUANTAN, 15 APRIL: ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan aliran trafik akan meningkat sehingga lebih tiga juta kenderaan di kedua-dua lebuh raya itu berikutan cuti perayaan Aidilfitri yang bermula minggu depan.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke Pantai Timur akan mengalami peningkatan bermula 19 April hingga 21 April manakala kesesakan lalu lintas menghala ke Kuala Lumpur dijangka bermula 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei nanti.

“Pihak kami berharap agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan.

“Kami akan membuat edaran Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini selain membuat hantaran di laman sosial ANIH BERHAD sebagai rujukan pengguna lebuh raya,“ katanya menerusi kenyataan media hari ini.

ANIH Berhad mencadangkan agar pengguna dari Kuala Lumpur dan Selangor yang ingin ke Pahang pada 19 hingga 21 April melakukan perjalanan pada 10 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 11 malam, Terengganu (6 pagi hingga 10 pagi atau 8 malam hingga 11 malam) dan Kelantan (6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam) manakala 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Bagi perjalanan pulang ke ibu negara pada 24, 25 dan 30 April serta 1 Mei, pengguna dari Pahang digalakkan memasuki tol pada 8 pagi hingga 10 pagi atau 3 petang hingga 5 petang, pengguna dari Terengganu dicadangkan masuk Plaza Tol Jabor pukul 11 pagi hingga 1 petang atau 6 petang hingga 8 malam.

Pengguna dari Kelantan pula disarankan memasuki Plaza Tol Bentong pada 3 petang hingga 5 petang atau 10 malam hingga 12 tengah malam.

Waktu perjalanan bas ekspres ke destinasi Pantai Timur memasuki Plaza Tol Gombak pula ialah 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam dengan kenderaan ringan disaran mengelakkan memasuki Plaza Tol itu pada waktu tersebut.

Sementara itu, Radzimah berkata ANIH Berhad komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, termasuk dengan menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol.

Selain itu, pihaknya turut menempatkan lebih 140 anggota RELA di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya disamping meningkatkan jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik sebanyak 20 peratus bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut meningatkan supaya pengguna memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi demi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol.

– BERNAMA


Pengarang :