EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menyampaikan cek cura kepada atlet menembak Selangor Haritz Iklil Hessly Hafiz ketika majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Selangor di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 7 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASELANGORSUKANKINI

Atlet menembak syukur dapat ‘duit raya’, pasukan renang mahu tingkat prestasi

SHAH ALAM, 8 APRIL: Atlet menembak Haritz Iklil Hessly Hafiz muncul penerima insentif tertinggi Selangor bagi kategori individu dengan jumlah RM24,000 hasil kecemerlangan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 tahun lalu.

Haritz, 23, yang meraih empat pingat emas dan memecah tiga rekod kebangsaan itu tidak menyangka akan menerima penghargaan dan ‘duit raya’ daripada Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, saya anggap ini seperti duit raya untuk saya dan keluarga kerana kebetulan Aidilfitri pun semakin hampir.

“Saya akan belikan hadiah kepada ibu bapa dan selebihnya akan disimpan untuk masa hadapan,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, beliau antara 687 atlet, pegawai dan jurulatih yang diraikan dalam majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Selangor ke SUKMA ke-20 disampaikan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman di Dewan Raja Muda Musa, di sini semalam.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bersama pasukan renang selepas penyerahan cek cura ketika majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Selangor di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 7 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, jurulatih renang Marilyn Chua menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian insentif yang menyuntik semangatnya untuk terus mengharumkan nama Selangor.

“Terima kasih kerana menghargai usaha atlet dan semua yang terlibat dalam SUKMA.

“Sekarang ini kami sudah mula berlatih untuk SUKMA tahun hadapan dan wang ganjaran ini kami akan gunakan untuk terus tingkatkan prestasi anak buah saya,” katanya.

Pasukan renang merupakan penerima insentif berkumpulan tertinggi dengan jumlah RM126,900 menerusi kutipan sembilan pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa.


Pengarang :