Jemaah Masjid Sultan Ahmad Shah Tok Sira bertadarus Al-Quran secara berkumpulan bagi mengimarahkan lagi sambutan Hari Nuzul Al-Quran pada 29 April 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Al-Quran diturun sebagai bukti kuasa-Nya, panduan buat manusia

Mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh manusia yang membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Selain perintah berhubung urusan hidup sesama insan di muka bumi ini, al-Quran turut menyampaikan penjelasan tentang perkara ghaib termasuk alam barzakh, hari kiamat dan pembalasan.

Sempena sambutan Nuzul Quran, Mufti Selangor Dato’ Setia Profesor Madya Dr Anhar Opir mengupas peristiwa penting ini dalam wawancara bertulis bersama wartawan NADIAH ZAMLUS pada 31 Mac.

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir

Boleh jelaskan maksud Nuzul Quran?

Dari segi bahasa, perkataan nuzul bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya nazala membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’.

Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul Quran ini secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran. Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa penurunan al-Quran seperti yang disebutkan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185.

Peristiwa Nuzul Quran berlaku ketika Ramadan, apa sebenarnya yang berlaku waktu itu?

Menurut pandangan majoriti ulama penurunan al-Quran dipecahkan kepada tiga peringkat. Pertamanya al-Quran diturunkan sekali gus sebanyak 30 juzuk daripada Allah ke Luh Mahfuz yang tidak tahu di mana letaknya.

Luh Mahfuz iaitu satu-satunya tempat yang paling mulia yang terkumpul padanya segala ketentuan Allah SWT untuk semua makhluk-Nya.

Hikmah al-Quran ditempatkan buat sementara di Luh Mahfuz. Tujuannya untuk memberi kemuliaan kepada al-Quran kerana Luh Mahfuz merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah.

Peringkat pertama ini juga perlu bagi menyempurnakan kewujudan Luh Mahfuz iaitu tempat bagi segala perancangan yang wujud di alam ini dan al-Quran adalah termasuk di dalam perancangan Allah ke dunia ini.

Peringkat kedua, setelah berada sekian lama di Luh Mahfuz, maka al-Quran diturunkan buat kali keduanya iaitu dipindahkan sekali gus daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia (langit pertama) yang mana terhimpun padanya segala rahsia dan khazanah Allah.

Penurunan kedua ini berlaku pada malam Lailatul Qadar berpandukan firman Allah dalam ayat satu surah al-Qadr yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.”

Peringkat ketiga iaitu peringkat akhir sekali, pada 17 Ramadan ketika Rasulullah mengasingkan diri di dalam gua Hira’, malaikat Jibril membawa turun dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW lima ayat yang pertama daripada surah al-Alaq.

Ayat itu dibaca kepada ketika Baginda dalam gua itu. Selepas itu, al-Quran terus diturunkan kepada Rasulullah secara beransur-ansur selama hampir 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Firman Allah dalam ayat 106 surah al-Israa’ yang bermaksud: “Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami turunkannya secara beransur-ansur.”

Pelajar membaca ayat suci Al-Quran majlis khatam hafazan ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke – 15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terangkan lebih lanjut mengenai Luh Mahfuz dan Baitul Izzah?

Luh Mahfuz ialah tempat catatan yang ditulis padanya ketetapan sekalian makhluk sehinggalah berlakunya hari kiamat nanti. (Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah, Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, halaman 263). Baitul Izzah pula ialah langit dunia. Hakikatnya tidak diketahui kerana ini ialah antara perkara ghaib.

Apa ayat pertama dan terakhir diturunkan dan apa hikmah di sebaliknya?

Ayat al-Quran yang pertama diturunkan ialah surah al-Alaq iaitu ayat satu hingga lima. Sementara ayat terakhir diturunkan pula ada terdapat perselisihan pandangan dalam kalangan ulama iaitu:

1. Menurut pendapat Ibn ‘Abbas, ayat terakhir ialah ayat riba iaitu surah al-Baqarah 278. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba – yang belum dipungut.” (al-Baqarah: 278).

2. Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa ayat terakhir yang diturunkan ialah surah al-Baqarah ayat 281. Firman Allah SWT:

“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah.” (al-Baqarah: 281)

Ketika sambutan Nuzul Quran, adakah terdapat amalan khusus untuk kita lakukan?

Tidak diriwayatkan terdapat amalan khusus untuk peristiwa itu. Tetapi kita boleh melakukan beberapa amalan-amalan umum sebagai meraikan peristiwa ini seperti majlis khatam al-Quran, ceramah menghayati al-Quran dan sebagainya.

Apa pengajaran boleh kita perolehi di sebalik peristiwa Nuzul Quran?

Peristiwa ini menunjukkan kekuasaan Allah SWT dalam penurunan al-Quran. Hikmah diturunkan secara berperingkat ini juga antaranya ialah memudahkan pensyariatan. Maksudnya hukum-hakam tidak datang serentak kepada sahabat Nabi Muhammad SAW dari segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan.


Pengarang :