Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta sempena majlis penyerahan insentif khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada penggerak masjid dan guru rakyat Selangor di Dewan Jamuan, Masjid Negeri, Shah Alam pada 13 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bantuan khas ceriakan penggerak masjid sambut Aidilfitri

SHAH ALAM, 13 APRIL: Insentif khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada anggota penggerak masjid menceriakan kumpulan itu menjelang sambutan hari raya minggu hadapan.

Nazir Masjid Nurul Amin di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh berkata bantuan itu juga menjadi galakan kepada petugas masjid untuk bekerja lebih gigih demi kebaikan ummah.

Nazir Masjid Nurul Amin Kg Merbau Sempak, Sungai Buloh Dato’ Mohd Zaki Abdul Wahab

“Sudah tentu wang ini akan digunakan untuk persiapan hari raya. Dalam masa sama, ia menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk meneruskan khidmat.

“Sebenarnya kami tidak mengharapkan apa-apa ganjaran di dunia. Namun kalau mahu dihargai, kami terima. Ini juga sebahagian rezeki Allah,” kata Dato’ Mohd Zaki Abdul Wahab, merangkap Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, Pengurus Imam 1 di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya Muhammad Halim Zamri akan menggunakan insentif tersebut bagi menyediakan kelengkapan Aidilfitri buat keluarga.

Pengurus Imam 1 di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya Muhammad Halim Zamri

“Syukur dapat juga beri sedikit kepada ibu bapa sebagai duit raya. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar yang sentiasa cakna kepada golongan seperti kami,” katanya.

Mereka berdua antara 3,024 anggota penggerak masjid yang menerima bantuan khas Aidilfitri di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Serahan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari turut diberikan kepada 1,687 guru rakyat di sekolah rendah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

 


Pengarang :