Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cakna nasib golongan kurang mampu, Selangor wujud pelbagai inisiatif

SEPANG, 29 APRIL: Pelbagai inisiatif diperkenal Kerajaan Negeri bagi membantu golongan kurang berkemampuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara bantuan diwujud adalah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

“Dalam membantu golongan ini, kita tidak tunggu lama dan beberapa inisiatif ada seperti Bingkas untuk 30,000 keluarga yang memperuntuk lebih RM50 juta.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri merencana beberapa program seperti SADE dan penjagaan kesihatan seperti saringan dan pemberian vaksin. Usaha yang diteruskan ini bukan hanya populis, sekelip mata.

“Malah, kita laksana INSAN, sebagaimana tiada mana-mana negeri yang berkemampuan memberi perlindungan secara percuma kepada rakyatnya, hanya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di tapak Pasar Pagi Pekan Salak semalam.

Seramai 10,000 pengunjung hadir program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ahli parlimen Gombak itu juga menolak dakwaan mengatakan 1.8 peratus penduduk Selangor berada dalam kemiskinan mutlak yang mana jumlah ini bersamaan 86,000 keluarga.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai cabaran setelah melepasi detik sukar termasuk Covid-19 dan bencana alam.

“Pengalaman yang kita lalui pada 2020 hingga 2022 mengajar kita banyak perkara. Pentadbiran dan pengurusan kerajaan dan pembangkang harus bersatu hati dengan menetapkan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, sebaik melepasi detik-detik sukar, Kerajaan Negeri tidak menoleh dan terus merangka serta merancang supaya Selangor mampu berdepan dengan cabaran sama ada bencana, krisis ekonomi atau ketidakstabilan politik,” katanya.


Pengarang :