Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Drama Selalu Ada sarat mesej kekeluargaan, temui penonton 3 Mei di TV2

SHAH ALAM, 27 APRIL: Drama Selalu Ada terbitan Kerajaan Selangor yang dijadual menemui penonton jam 9 malam pada 3 Mei di saluran TV2 sarat mesej kekeluargaan dan persahabatan.

Tayangan drama 45 minit arahan Che Mie menampilkan pelakon popular tanah air antaranya Erra Fazira, Sophia Albarakbah, Syafie Naswip selain bakat baharu Zarul Iman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas dalam drama yang dilakonkan sekitar negeri seperti Sekinchan dan Shah Alam.

Karya sempena Syawal itu mengisahkan cabaran yang ditempuhi tiga sahabat yang memiliki pelbagai personaliti dan cabaran dalam hidup untuk melanjut pengajian ke menara gading.

Drama tersebut juga menyelitkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan pentadbiran negeri kepada
segenap lapisan masyarakat berpendapatan rendah.

Sekitar penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.


Pengarang :