Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM , 3 APRIL: Daerah Hulu Selangor dan Gombak diramal mengalami ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca sama turut diramal melanda beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu selain beberapa Kawasan di Sabah.
Negeri lain yang turut diramal mengalami ribut petir dan hujan lebat adalah Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum agensi berkenaan menerusi Facebook.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.