AGENDANASIONAL

Hijrah tawar latihan usahawan, piawaian produk bantu tembusi pasaran luar negara

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 10 APRIL: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menganjurkan kursus pemasaran Julai ini bagi membantu lebih ramai usahawan di bawah naungannya menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei dan Eropah.

Pengurus Pembangunan Usahawannya Elyani Iza Zuber berkata inisiatif tersebut antara usaha memastikan peniaga serta produk yang ditawarkan kepada pelanggan kekal berdaya saing di dalam dan luar negara.

“Yuran penyertaan kursus tersebut adalah RM30. Peserta akan mempelajari modul pemilihan produk, strategi jualan dan harga, sasaran pasaran, pembangunan produk serta piawaian setiap negara.

“Kita turut jalin kerjasama dengan perunding kerana perkembangan usahawan yang bakal pasarkan produk ke luar negara hanya dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata Hijrah telah membuktikan ramai usahawan di bawah naungannya berjaya menembusi pasaran luar negara.

“Inisiatif menyediakan latihan diambil selepas melihat kejayaan beberapa usahawan kita melebarkan perniagaan ke negara seperti Singapura, Brunei, China, Australia, Qatar, Korea dan Amerika Syarikat

“Kita ada usahawan makanan seperti jeruk, colek dan sambal dan minuman, usahawan bantal kekabu asli, cadar kalis air sehinggalah jamu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, selain membantu usahawan mengembangkan perniagaan, latihan itu juga untuk memastikan mampu membayar semula pembiayaan Hijrah.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 25 November lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.

Setakat ini, skim ditawarkan institusi pembiayaan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.

Tiga usahawan baharu Zero To Hero menerima alatan menjahit daripada syarikat peneraju selain ditawarkan pembiayaan perniagaan RM10,000 daripada Hijrah di Pejabat Cawangan Hijrah Puchong, di Subang Jaya Pada 2 September 2022. Foto Facebook Hijrah Selangor

Pengarang :