Seorang petugas melakukan cerapan anak bulan ketika majlis cerapan rasmi hilal Syawal 1443 Hijrah di Menara Kuala Lumpur pada 1 Mei 2022. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Hitungan ahli falak tidak muktamad, 1 Syawal tertakluk hasil hilal

Atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, saya selaku Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor ingin menasihatkan umat Islam khususnya dalam Negeri Selangor untuk menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawwal 1444H
kepada pihak berautoriti.

Islam telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah berdasarkan ru’yah hilal atau melihat anak bulan.

Hanyasanya jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka dalam hal ini terdapat perbezaan pandangan ulama’ dalam menerima hisab ahliahli falak. Malaysia telah mengamalkan penggunaan Kriteria Imkan ar-Ru’yah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah sejak tahun 1992.

Kriteria ini telah ditambahbaik bermula bulan Muharram 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.

Imkan ar-Ru’yah sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) adalah; hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

Ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir menunjukkan carta tarikh dan waktu yang sesuai bagi melihat anak bulan pada kalendar mufti ketika ditemu bual Media Selangor di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 12 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 haribulan hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baharu. Namun, jika tidak kelihatan maka keesokannya disempurnakan menjadi 30 haribulan.

Kriteria ini dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap datadata dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia. Ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak Syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadhan dan Syawwal.

Walau bagaimanapun, permulaan awal Ramadhan dan Syawwal di Malaysia adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sebagai makluman, prinsip melihat anak bulan merupakan kaedah yang disyariatkan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

Barangsiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.

Begitu juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya. (Riwayat al-Bukhari)

Hitungan ahli-ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawwal khususnya. Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 buah lokasi yang telah ditetapkan.

Permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara. Setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza dan penentuan awal Syawwal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal di negara lain atau data-data kedudukan hilal di negara lain.

Sebagai penegasan, bilangan hari dalam sebulan menurut kalendar Islam adalah sama ada 29 atau 30 hari sahaja. Maka, adalah dinasihatkan untuk masyarakat Islam kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadhan 1444H bersamaan 20 April 2023.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir

 


Pengarang :