Nizam Abdul Aziz berniaga kuih raya pada Jualan Mega Aidilfitri di pekarangan PPR Seksyen 24 Shah Alam pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Jualan mega ehsan bantu peniaga kuih raya raih pelanggan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di pekarangan perumahan rakyat di Seksyen 24 di sini hari ini memberi rezeki kepada peniaga kuih raya.

Nizam Abdul Aziz, 30, berkata beliau mencuba nasib berniaga di depan program berkenaan dengan menjual semperit dan tart nanas hasil tangan keluarganya.

“Saya juga menjual kerepek pelbagai jenis. Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Ramai pelanggan jualan murah singgah ke khemah saya dan membeli jualan.

“Susulan sambutan baik ini saya berhasrat untuk menyertai program kendalian Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) ke lokasi lain,” katanya ditemui SelangorKini.

Jualan murah Kerajaan Negeri yang dilaksana oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan ayam pada harga RM10 seekor, telur (RM10 sepapan), beras 5 kilogram (kg) RM10), minyak masak 5 kg (RM25) dan daging (RM10).

Hari ini program sama turut berjalan di pekarangan Masjid As-Syakirin, Jenderan Hilir; Pasar Tani Kelana Jaya, Pasar Tani Saujana Utama dan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Bernam dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar; Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat (Kuala Langat) dan Tapak Jalan Kantan (Patron) Bukit Sentosa bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sementara Laman Niaga Usahawan KoHijrah Shah Alam (4 hingga 6 petang).


Pengarang :