Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru, Ampang Jaya pada 23 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Jualan murah bantu rakyat tampung kenaikan kos sara hidup

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kenaikan harga barangan menekan hidup rakyat, khususnya golongan kurang mampu atau B40.

Menyedari kesusahan dihadapi golongan rentan ini, Kerajaan Negeri segera melaksana program jualan murah untuk membantu rakyat sejak beberapa tahun lalu.

Mulai 2022, Selangor melancarkan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER), lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Selain membantu petani memasarkan produk pertanian, rakyat juga berpeluang mendapatkan barangan asas dapur pada harga murah.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu kemudian dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai JER.

Mensasarkan kumpulan B40 di 56 Dewan Undangan Negeri Selangor, program berkenaan dijalankan berjadual di sembilan lokasi pada sembilan daerah setiap hari kecuali Jumaat.

Wakil rakyat kawasan terlibat turut bekerjasama dari sudut hebahan. Mereka juga membuat permohonan baharu untuk JER diadakan semula jika sambutannya baik.

Inisiatif berkenaan memudahkan golongan B40 membeli enam barangan keperluan asas iaitu ayam segar, telur gred B, ikan kembung, daging, minyak masak dan beras dengan harga murah.

Siri pertama jelajah bermula pada September hingga Disember 2022 dengan peruntukan RM10 juta.

Sembilan trak jualan JER bergerak ke 711 lokasi di seluruh negeri sepanjang tiga bulan pertama. Kira-kira dua juta orang dapat barangan dapur yang murah dengan subsidi sebanyak RM4.8 juta.

Sambutan hangat mendorong Kerajaan Negeri meneruskan program itu. Rancangan awal antara Januari hingga Mac sebelum dilanjutkan hingga Mei tahun ini. Kaedah pelaksanaan juga ditambah baik.

Antaranya, peruntukan ditingkatkan kepada RM12 juta dan sasaran penerima manfaat dilebarkan
ke 1,200 lokasi.

Penduduk yang meraih manfaatnya dianggarkan mencecah empat juta orang. Sehingga 12 Mac, bantuan kepada golongan rentan sebanyak RM3.13 juta.

Penduduk sekitar mengambil peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Azalea Court Tasik Puteri, Rawang pada 22 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Selangorkini mendapat reaksi beberapa pembeli (antara Oktober 2022 hingga Mac 2023):

“Harganya memang benar-benar membantu golongan warga emas atau berpendapatan kurang. Insya-Allah saya akan pergi lagi kalau jualan murah ini ada buat dekat rumah.” – suri rumah Siti Zauwiyah Sudin, 63

“Barang jualan segar dan berkualiti. Tak jumpa lagi program yang jual pada harga ini. Jualan ini baik dan patut diteruskan untuk ringankan beban rakyat.” – suri rumah Ng Chiew Hiong, 63

“Saya tak kesah beratur dan tunggu hingga nombor giliran dipanggil kerana mahu beli barang pada harga murah. Program ini bantu jimatkan perbelanjaan keluarga.” – suri rumah Arissa Darminto, 47

“Gaji saya tidak besar, jadi inisiatif ini sangat membantu. Saya berusaha minta keluar sebentar daripada majikan untuk beli barang pada program ini kerana ingin berjimat.” – kakitangan swasta S Yasotha, 23

“Jika berkelapangan memang akan singgah ke jualan murah kerana barangan dijual berkualiti seperti di luar selain harga berpatutan.” – peniaga Hairuman Ahmad, 44

“Selalunya, untuk barangan yang saya beli ini jika di pasar raya luar mungkin sudah cecah RM200. Kali ini RM127 sahaja. Penjimatan RM73 saya boleh salurkan kepada keperluan lain seperti barangan keperluan anak dan sebagainya.” – kelindan lori Norhalis Hawafi, 28

“Pakcik minta program ini lebih kerap sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri kerana kebanyakan penduduk hanya kerja kampung dan tiada pendapatan tetap.” – warga emas Kadar Karimin, 71


Pengarang :