Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Teratai di Ampang Jaya pada 2 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan dapur di lima lokasi pada Sabtu, Ahad

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 28 APRIL : Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual enam jenis barangan asas pada harga murah kembali ke lima lokasi pada esok dan Ahad.

Jabatan Komunikasi Strategik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari esok diadakan di dua lokasi iaitu di KRT Taman Aman bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting dan Surau Haji Amin (DUN Meru)

Jualan waktu sama pada Ahad pula berlangsung di tiga lokasi iaitu Puteri Central Park, Tasik Puteri (DUN Kuang), kawasan lapang Blok D6 dan D7, Wangsa Maju (Parlimen Wangsa Maju) dan Taman Suria Bandar Mahkota (DUN Banting).

“Selain itu, jualan murah di sembilan lokasi pda setiap hari akan bermula seperti biasa hari Selasa (2 Mei). Inisiatif ini diteruskan bagi membantu rakyat berjimat,” katanya kepada Selangorkini.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khai berkata program JER 2.0 mencatat nilai jualan sejumlah RM7.71 juta dalam tempoh empat bulan sejak Januari.


Pengarang :