Petugas PKPS membuat persiapan untuk jualan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam.pada 21 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah bukti kerajaan bekerja untuk rakyat, bantu penduduk berjimat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Selangor menjadi contoh program yang mampu menarik pengundi sekali gus mengekalkan pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengarah bersama pusat penyelidikan Merdeka Centre berkata hasil pemerhatian pihaknya program yang diperkenal sejak tahun lalu mampu memperkasakan ekonomi serta menyejahterakan penduduk.

Pengarah bersama Merdeka Centre Ibrahim Sufian ketika sesi sumbangsaran menjelang pilihan raya negeri di Kelab Shah Alam Seksyen 13 pada 16 April 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Semalam JER di Batang Kali. Jam 7 pagi sudah ramai yang beratur kerana program ini membantu penduduk dalam menjimatkan belanja. Sekarang isu inflasi dan ekonomi jadi fokus rakyat.

“Jadi kita (kerajaan) kena tunjuk dan lakukan yang terbaik. Jangan cakap isu politik berlebihan tetapi tunjukkan kita bekerja untuk rakyat,” kata Ibrahim Suffian pada sesi sumbangsaran menjelang pilihan raya negeri ke-15 bagi mendepani gelombang hijau.

Program anjuran Jabatan Pilihanraya Wanita KEADILAN Pusat itu dihadiri ketuanya Fadlina Sidek serta timbalan merangkap pengarah pilihan raya wanita pusat Juwairiya Zulkifli.

JER diperkenal tahun lepas oleh Kerajaan Negeri dan memanfaatkan lebih dua juta penduduk  sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan murah barangan asas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Sempena Aidilfitri, jualan mega turut dilaksanakan di 23 lokasi bermula semalam hingga Khamis depan.

Inisiatif tersebut menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).

Dalam perkembangan lain Ibrahim berkata HARAPAN perlu mengambil peluang terhadap sikap positif golongan muda terhadap konsensus itu bagi memenangi pilihan raya negeri.

“Hasil kaji selidik, ramai generasi muda Melayu berusia antara 18 hingga 25 menyokong pentadbiran HARAPAN. Justeru strategi memenangi hati mereka penting. Golongan ini lebih ke arah media sosial, bukan majlis atau program besar,” katanya.


Pengarang :