BUDAYARENCANA

Kabel

Oleh Muhammad Fareed

Kata Razif, rakan ofisku, nak naik cepat kena kerja keras sedikit. Kena ada kabel. Ketika itu kami sedang lepak minum teh tarik di kedai mamak selepas pulang daripada kerja. Razif merungut kerana bos kami, Encik Hisham, marah-marah dalam mesyuarat petang itu.

Kata Encik Hisham, tidak berkat gaji kami jika buat kerja sambil lewa. Dalam mesyuarat tergempar itu, semua staf diminta bangun untuk berikan alasan mengapa hasil jualan syarikat merudum tiga bulan berturut-turut. Semua alasan kami diperlecehkan. Kecuali Mira, penerima Anugerah Pekerja Terbaik tiga tahun berturut-turut. Meskipun alasannya lebih kurang seperti alasan kami.

“Orang sekarang tak baca buku dah, bos. Lagi-lagi e-book.”

Mungkin kerana alasan Mira, Encik Hisham tidak menggunakan kuasa supernya petang itu. Tiada sesiapa disumpah menjadi api. Mungkin juga kerana dia tidak mahu mengambil risiko. Tidak mahu satu ofis itu hangus terbakar.

Razif pernah menunjukkan laporan hasil jualan Mira sepanjang tahun lepas. Lebih rendah berbanding Razif. Hasil jualan dua dan tiga tahun lepas pun lebih rendah berbanding pekerja lain. Razif tidak tahu bagaimana Encik Hisham membuat penilaian. Adakah berdasarkan prestasi kerja, ataupun paras rupa semata-mata.

“Ini bukan Miss World!” rungut Razif.

Aku tidak kisah dengan anugerah itu. Aku bekerja di syarikat itupun kerana ijazahku tidak laku di tempat lain. Rata-ratanya mencari pekerja berpengalaman. Dan itu tidak termasuk pengalaman menghadiri kuliah, mengendalikan program di universiti ataupun meluangkan berjam-jam di perpustakaan untuk menyiapkan tugasan.

Sehinggalah pada suatu hari, Encik Hisham memanggilku ke biliknya. Dia memuji aku pekerja yang rajin, tak banyak merungut dan selalu datang kerja awal. Namun, hasil jualanku tidak memberangsangkan. Sudah hampir setengah tahun, hasil jualanku cuma meningkat 10 peratus dan merosot 35 peratus.

Kerana disiplin yang bagus, dia berikan aku tiga bulan lagi untuk buktikan diri. Dia mahu aku tebus semula 35 peratus yang hilang itu, dan tambahkan lagi sekurang-kurangnya 10 peratus. Jika gagal, dia tiada pilihan lain. Terpaksa menggunakan kuasa supernya menyumpah aku menjadi api.

Walaupun mustahil, aku anggukkan saja kepala. Aku berjanji akan berusaha sekeras mungkin siang dan malam untuk buktikan diri.

Aku benar-benar maksudkannya.

Siang dan malam aku habiskan masa membaca artikel dan menonton video tutorial untuk menghasilkan kabel berkualiti.

Setelah benar-benar faham, aku memulakan langkah. Pertama sekali, aku membeli gam yang paling kuat di MR. DIY. Kata orang, gam gajah merupakan gam paling kuat di dalam dunia. Tapi ketika aku bertanya pada pekerja di situ, dia mengesyorkan sebotol gam berpelekat beruang. Kerana tidak temukan gam berpelekat gajah, aku ambil saja gam berpelekat beruang itu dengan sinis.

Selepas itu, aku mula mengutip gumpalan gosip dan rungutan yang bertaburan di lantai ofis serta restoran-restoran yang selalu dikunjungi rakan ofis. Rata-rata mereka tidak peduli dengan kelakuan aku.
Kecuali Razif.

Ofis ni dah ada cleaner lah.” Razif pernah menyindir. “Tak payahlah kau nak tunjuk rajin sangat. Ingat kau boleh dapat ke APT tahun ni?”

Saban hari, koleksi aku semakin bertambah. Terutamanya bila ada mesyuarat tergempar; koleksi harianku akan berganda pada hari itu. Gumpalan rungutan akan bertaburan di luar bilik mesyuarat seperti daun-daun gugur pada musim luruh.

Pada malam hari, aku berjaga sehingga lewat pagi. Ditemani dua tiga tin Red Bull, aku buka satu persatu gumpalan rungutan dan gosip itu seraya menyambungnya dengan gam berpelekat beruang.

Benar kata pekerja MR. DIY tempoh hari. Gam itu benar-benar kuat. Kerana leka, ibu jari tangan kananku melekat pada permukaan meja. Setelah gagal kutanggal, jari itu aku potong. Terlekat di atas meja seperti artifak sejarah, juga sebagai bukti kerja kerasku.

Genap dua bulan, semua gumpalan rungutan dan gosip itu berjaya disambung. Panjangnya tiga kali ganda daripada kabel iPhone. Mujurlah mudah dilentur dan tidak begitu lebar. Jika tidak, susah juga nak disumbat ke dalam beg.

Setiap hari aku mencari masa yang sesuai untuk mempersembahkan kabel itu kepada Encik Hisham. Namun, dia seolah-olah sibuk setiap hari. Jika tidak keluar kerana urusan kerja, sibuk bermesyuarat dengan Mira di dalam biliknya.

Sehinggalah genap tiga bulan, dia memanggilku masuk ke dalam biliknya. Dia tunjukkan laporan hasil jualanku sepanjang tiga bulan yang lepas. Peningkatan cuma lima peratus. Penurunan meningkat ke 70 peratus. Sambil menepuk-nepuk bahuku, dia meminta maaf kerana tidak boleh beri peluang lagi. Dia terpaksa menyumpah aku menjadi api.

Tatkala dia mula membaca mantera, aku campakkan kabel itu ke atas meja. Bacaanya terhenti serta-merta. Matanya membuntang seperti ingin terjojol keluar. Lantas, kabel itu dicapai dan ditelitinya. Riak kagetnya bertukar bengis. Telinganya merah seolah-olah ingin meletup.

“Bos,” tegurku, sekaligus menyentak lamunannya.

“Terima kasih,” ujarnya. “Awak boleh keluar sekarang.”

Selama beberapa hari kemudian, ofis aku berbau hangit. Aku tidak tahu apa yang terbakar. Tapi, beberapa orang staf telah disumpah menjadi api. Termasuk Mira. Kerana gosipnya turut aku lekatkan dalam kabel itu.
Pada hari Razif disumpah menjadi api, aku dipanggil masuk lagi ke bilik Encik Hisham. Sebahagian karpet di hadapan mejanya sudah habis rentung. Aku berdiri di situ. Lantas, dia memberitahu bahawa semuanya sudah selesai. Katanya lagi, aku akan dinaikkan pangkat sebagai pengurus.

“Betul ke ni bos?”

“Betul. Buat apa saya nak main-main? Gaji awak pun saya akan naikkan. Dua kali ganda daripada gaji sekarang.”

Aku dilanda euforia. Tak sabar rasanya ingin menelefon ibuku di kampung untuk khabarkan berita gembira ini. Dengan gaji baru ini, bolehlah aku merealisasikan hasratnya untuk pergi ke Mekah.

“Dan satu perkara lagi,” tambahnya sambil menghulurkan sepucuk sampul. “Ambik duit ni dan pergi beli baju handsome sikit.”

“Eh, tak apalah bos.” Aku cuba menolak. “Saya ada banyak lagi baju dekat rumah.”

Encik Hisham tiba-tiba berdiri dan suakan sampul itu betul-betul di hadapan wajahku. “Baju dekat rumah tu, baju dekat rumahlah. Ini baju lain.”

“Eh, tak apalah bos. Baju apapun sama je.”

Encik Hisham berdecit sambil membuat muka jengkel. “Ambil jelah. Takkan nak naik pentas ambik APT pakai T-shirt biasa je?”

 


Pengarang :