BUDAYARENCANA

Kata dalam Fibonacci

Oleh Benedict Anak Samling
Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Rumah usang di kaki gunung. Langit mendung. Aku melangkah tidak beritma. Keputusasaan membengkak. Ketakutan melarat. Keperitan mencengkam. Kesunyian melebar. Kesempitan. Wajah yang jatuh. Kukutip tidak tercapai. Kugenggam tidak tergapai. Langkah terhenti-henti. Tanganku kaku. Mampukah aku menghabiskan ayat ini?

Sepi. Sepi atau aku yang tuli? Jiwaku melihat bukan mataku. Wilayah terabai petanda kehidupan purba. Sekarang, tiada apa-apa. Di mana-mana tiada apa-apa. Ketakutan yang hidup, angin tidak bernafas.

Dub, dap, dub, dap!

Hanya degup jantungku yang berkata-kata. Kepada siapa kata-kata itu dituju? Tiada siapa yang menyambut. Lututku jatuh ke dalam kolam kekecewaan. Pengabaian ini tidak disedari. Menyusup. Perlahan-lahan. Tidak ternampak oleh mata, tetapi jiwaku. Pereputan merebak. Tidak tertanggung olehku. Aku terfikir-fikir, mungkin masih ada sisa-sisa waktu. Aku tersilap. Aku harus bersedia! Tetapi bagaimana?

Matahari bangkit. Muram. Gelisah. Berlegar-legar di puncak gunung. Bergolek ke lembah. Terus membenamkan wajahnya di lembah rahsia. Tidak bangkit-bangkit. Masyarakat manusia tahu kenapa. Asbabnya. Pura-pura tahu atau memang tidak tahu?

Aku masih di atas lututku. Keperitan meluncur dari pipi. Jatuh berderai. Semuanya. Hancur. Tidak tercapai tangan yang kaku ini. Tiada apa-apa mampu menghalang deraian yang terus meresap hilang di atas tanah yang kontang. Andai dapat dihalang, ia akan berhenti. Aku akan berhenti. Nafasku akan terhenti. Tanganku akan terhenti. Ayat ini akan tergantung.

Harus aku lepaskan. Tidak! Mataku akan terbuka. Bila? Bila aku melepaskan kata-kata. Kata-kata yang bagaimana? Sayup-sayup. Meletus tidak pada lidah. Hanya di halaman jiwa. Mengapa? Itu seharusnya. Masyarakat manusia suka.

Bukan perspektif. Bukan naratif. Minda ini kualitatif sifatnya. Berganda-ganda. Sangat sensitif. Jiwa ini kuantitatif. Berkumulatif. Berlingkar-lingkar. Seperti lingkaran Fibonacci. Boleh dirumuskan seperti berikut: Susunan nombor yang menghubungkaitkan nilai fizik, statistik, bioinformatik, astronomi, kriptografi, abstrak, algebra, geometri dan kimia. Ah! Semakin dalam semakin rumit. Manusia suka kerumitan. Semakin rumit semakin nikmat. Kata sekerat dua. Bukan semua. Ya, alasan yang bermuka-muka. Bermuka-muka seperti dinding menutupi kota minda. Tebal tidak tertembus. Membangun tembok kemurungan. Setebal tembok Iskandar Zulkarnain? Tidak! Dinding terbina dari bata-bata kekusutan, keperitan dan kesengsaraan. Hancur. Minda berderai.

Udara statik. Realistik. Rembesan jiwa terenkapsulasi. Menjadi teras. Menjadi keras. Titisan hujan berselerak di dalam kabus. Kabus menjadi kabut. Kabut serabut menenggelamkan jiwa masyarakat manusia. Dan jiwaku. Mataku di dalam kabut. Lidahku menadah debu. Jeritan terlarut di dalam kabus. Menanti masyarakat manusia. Menghulurkan tangan. Tiada siapa-siapa. Tangan mencengkam baju di bawah daguku. Cengkaman yang padat. Menggigil tubuhku. Jerit terseksa. Matahari benamkan wajah sedalam-dalamnya. Matahari menguncupkan ekornya. Matahari dilingkar. Lingkaran Fibonacci menggila. Terjerut. Terheret. Sumbat. Padat. Siapa yang akan faham?

Di luar lingkaran, aku sempurna. Tiada siapa harus tahu. Kesepian yang melanggar jiwaku. Masyarakat manusia tidak harus tahu. Andai tahu, apakah mereka menghulurkan jari-jemari? Mereka tidak akan masuk ke dalam lingkaran ini. Mereka tidak mungkin nampak. Sudah aku lakarkan petanda pada kabus. Ya, petanda! Mereka tidak nampak atau tidak tahu atau tidak mahu tahu. Itu masyarakat manusia. Masyarakat yang terbuai-buai dengan kata-kata, dengan paras rupa.

Terasing. Derita. Sepi. Rumit.

Kalimat itu berlipat di udara masin. Memasuki ruang. Ruang yang sempit. Gelap. Menusuk baunya. Menebuk pangkal hidung. Sepi yang menyakitkan. Deru angin memadatkan lubang sekecil jarum. Angin menghantar dingin. Mata mengerjap-ngerjap. Mencari sehelai cahaya. Cahaya bawa petanda. Percaya? Harus difikir-fikir semasak-masaknya.

Tidak mungkin aku tidak bersuara. Petandanya ada di sana. Aku tidak dapat mengabaikan dunia yang semakin runtuh ketika masyarakat manusia berjalan tunduk. Masyarakat manusia memandang ke dalam. Tidak! Mereka memandang jauh ke luar dunia. Aku masih menghulur tangan. Mencari-cari jari-jemari. Mereka tolak ke tepi. Mereka takut jari-jemari mereka juga kaku sehingga tidak mampu mengetuk papan kekunci.

Aku? Huh! Memandang sesiapa yang terpandang. Andai sahaja ada mata yang bertemu. Mata? Sepasang bebola yang bersinar aneh itu dileret ke matahari. Matahari tenggelam jauh ke lembah. Nafasku berdesir. Tersekat-sekat. Mataku terbuka lebar. Ketakutan dalam kesepian. Jantungku berdegup kencang. Ketakutan menyelimuti jiwaku.

Dup! Dap! Dup! Dap!

Berdetak kencang jantungku. Suaraku tenggelam. Terlarut. Berterbangan. Di bawa angin kencang. Bisikan angin merengut perhatianku. Kembali ke alam realiti. Masyarakat manusia bergelak ketawa. Berkumpul riang. Ketawanya pada kecurangan. Ketawanya pada kegagalan. Ketawanya pada pertelingkahan. Ketawanya pada pertumpahan kata-kata. Siuman yang dilengah-lengahkan.

Tangisan berkumandang. Tanpa titisan air mata. Semuanya berderai. Kota yang musnah. Kota yang mati. Tiada terselamat. Tiada pertolongan. Hancur. Tidak terbangkit. Ada yang bangkit berkelahi dengan matahari. Kalah. Kecundang.

Aku berundur. Kaki membawaku pergi. Jauh. Jantung berdetak sekencang angin pasat. Mataku mendung. Jiwaku berkedut. Aku harus pergi. Tempat ini terasing. Aku harus pulang. Langkahku harus jangkau lingkaran. Pergi. Laju. Tidak tertangguh lagi. Pulang.

Sungguh tidak mengerti mengapa begitu sukar untuk aku melangkah ke rumah. Matahari telah menghalau tubuhku. Angin mengheret jiwaku. Mengapa hanya pada saat ini aku menjejak kaki ke dalam ruangan yang kupanggil rumah ini? Gelap. Langkahku laju. Di dalam kamarku. Sepi. Sepi yang merayap di setiap sudut, di dinding, di langit-langit dan berjuntai pada jendela. Hening. Haruskah aku pergi? Mengejar matahari.

Aku terduduk. Dingin lantai menusuk ubun-ubun. Kegelapan menyapa. Memejam mata. Kegelapan terpekat. Sempurna gelapnya. Denyut saraf menembusi kulit. Pedih bisanya menyerap.

Tok! Tok! Tok!

Ada jalur cahaya membelah kegelapan. Pintu terbuka. Perlahan. Semakin terbuka. Luas. Terpacak. Kanak-kanak berambut kerinting seperti gula-gula kapas memeluk teddy bear putih memandang tepat ke wajahku tanpa kerdipan tanpa sapaan lalu melepaskan teddy bearnya dan bersila dihadapanku. Memegang pipiku. Jari-jemarinya menyentuh mataku. Saraf-saraf otakku bertenang. Bersambung. Sinar wajahnya hangat. Jiwaku disirami kehangatan. Damai.

Kulit wajahku basah. Mataku sehangat sinar wajah kanak-kanak itu. Damai. Wilayah mindaku hidup. Tersiram lautan kasih. Kanak-kanak itu memegang erat pipiku. Memandang ke dalam mata. Menghantar pesanan dari jiwanya. Melawan kegelapan. Menghidupkan cahaya. Tabah. Gagah. Langkah. Sembuh. Harapan.

 

 


Pengarang :