Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilaksana berkuat kuasa 15 hingga 30 April dengan 30 jenis barangan dikawal (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN beri jaminan bekalan barangan asas cukup menjelang Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas mencukupi menjelang sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata perkara itu adalah susulan sesi libat urus yang dilaksanakan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) termasuk agensi-agensi penting seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar serta pihak pembekal.

“Saya difahamkan bekalan mencukupi menjelang Hari Raya ini, maka tidak perlu bimbang. Sekiranya terdapat perubahan, KPDN akan memberi notis atau pemberitahuan awal bagi mana-mana bekalan barangan yang tidak mencukupi.

“Tetapi setakat ini jangan bimbang, bekalan keperluan pada masa kini adalah mencukupi. Sehubungan itu rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barangan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Salahuddin berkata SHMMP Hari Raya Puasa 2023 itu akan dilaksana berkuat kuasa hari ini hingga 30 April dengan 30 jenis barangan dikawal di bawah skim itu termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur, yang telah dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Sementara itu, beliau berkata KPDN telah mengenal pasti sejumlah 1,700 peniaga Rahmah berdaftar di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan dan menu yang berkualiti hasil maklum balas yang diterima daripada pengguna.

“Saya telah berbincang dengan beberapa pihak terutamanya pihak pasar raya, kita akan cuba memperkukuhkan lagi rantaian bekalan khusus kepada para peniaga ‘Menu Rahmah’ supaya mereka juga boleh diberikan tawaran harga barangan Rahmah,” katanya.

Terdahulu, Salahuddin turut melancarkan program Pakej Fisioterapi Rahmah BeVital yang menawarkan khidmat rawatan fisioterapi serendah RM20 bagi golongan B40 dan RM5 untuk golongan asnaf miskin.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Pusat Fisioterapi BeVital terletak di Selayang di bawah ‘Payung Rahmah’ itu, mampu memberi akses penjagaan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh kepada golongan yang kurang berkemampuan. – BERNAMA


Pengarang :