AGENDAJENAYAH

Lelaki bawa 3.6 kilogram heroin dalam beg galas ditahan polis

IPOH, 7 APRIL: Polis Perak memberkas seorang lelaki bersama kira-kira 3.6 kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM128,000 di sebuah pasar raya di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata siasatan awal mendapati suspek berumur 25 tahun itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di sekitar Ipoh.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sebuah beg galas mengandungi lapan peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3,660 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Yahaya berkata tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai milik suspek sebanyak RM1,100.

– BERNAMA


Pengarang :