Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek bercakap pada sesi taklimat pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel Concorde Shah Alam pada 30 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PLATS perkenal bazar Ramadan, edar kupon Rahmah RM5 kepada pengunjung

SHAH ALAM, 7 APRIL: Platform Selangor (PLATS) hari ini memperkenalkan Program Bazar Ramadan PLATS 2023 dan mengedarkan Kupon Rahmah PLATS bernilai RM5 setiap satu kepada orang awam.

Inisiatif dilaksanakan agensi di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai galakan kepada peniaga bazar untuk mempelbagai saluran pemasaran termasuk menerusi platform digitalnya selain meringankan beban penerima kupon untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan pelan pembangunan bagi mencapai objektif itu.

“Pelan tersebut termasuk memberi bimbingan dan latihan digital serta keusahawanan bagi mewujudkan ekosistem ekonomi digital mampan dan teguh.

“Sempena Ramadan ini, PLATS memperkenalkan bazar Ramadan khusus buat peniaga dan pengunjung seluruh Selangor berhubung secara dalam talian bagi memudahkan proses pencarian dan jual beli juadah berbuka puasa tanpa perlu bersesak-sesak,” katanya dalam satu kenyataan.

Peniaga yang telah mendapat permit perniagaan daripada PBT untuk beroperasi di bazar Ramadan layak menyertai Bazar Ramadan Digital PLATS. Pendaftaran bagi menyertai insiatif itu adalah percuma dan mereka juga akan mendapat kupon Rahmah secara percuma.

Sementara itu, sebanyak 10,000 kupon diagihkan kepada orang ramai di sekitar Selangor bermula Rabu lalu. Mereka yang ingin mendapatkan kupon itu boleh menyemak senarai lokasi dan tarikh ditetapkan melalui platform media sosial rasmi PLATS.

Untuk maklumat lanjut mengenai PLATS, layari www.platselangor.com atau hubungi talian 016-2128449.

Menurut Dato’ Menteri Besar, PLATS diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi memberi peluang kepada penjaja mengembangkan perniagaan secara dalam talian dan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor negeri yang mendukung inisiatif pendigitalan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS1).

“Dengan mengambil kira perkembangan pesat ekonomi dan penggunaan teknologi digital yang meluas di samping kelestarian alam sekitar dan kualiti hidup yang tinggi, PLATS dapat membantu golongan sasaran iaitu peniaga mikro kecil sederhana (PMKS) di Selangor melalui peningkatan hasil pendapatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :