Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (kanan) dan Pengarah Perkhidmatan Korporat LLSB Nini Shazrina Ahmad Shamli (kiri) menerima trofi serta sijil penghargaan atas kejayaan meraih emas untuk Kelestarian dalam Kerajaan pada Majlis Anugerah Alam Sekitar Berprestij, Green World Awards 2023 di Miami, Amerika Syarikat pada 24 April 2023. Foto Facebook Gerbang Maritim Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Landasan Lumayan Sdn Bhd dipelawa sertai pergerakan duta Green World

SHAH ALAM, 26 APRIL: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dipelawa menyertai pergerakan Duta Green World susulan kejayaan agensi itu merangkul anugerah emas untuk Kelestarian dalam Kerajaan sempena majlis anugerah alam sekitar berprestij, Green World Awards 2023, kelmarin.

Anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan kertas kemenangan itu juga bakal diterbitkan dalam The Green Book, rujukan antarabangsa terkemuka berhubung amalan terbaik alam sekitar.

“Bersaing dengan lebih 500 pencalonan lain, inisiatif SMG sekali lagi diiktiraf. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi negeri, konsultan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Susulan kejayaan ini, LLSB dipelawa menyertai pergerakan Duta Green World manakala kertas kemenangan diterbit dalam The Green Book, rujukan antarabangsa terkemuka berhubung amalan terbaik alam sekitar,” menurut kenyataan di Facebook SMG semalam.

Trofi dan sijil penghargaan disampaikan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Green Organisation Roger Wolens kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Miami, Amerika Syarikat turut disaksikan Pengarah Perkhidmatan Korporat LLSB Nini Shazrina Ahmad Shamli.

Tahun lalu, LLSB memperoleh perak untuk Inisiatif Kelestarian Kerajaan Terbaik sempena Anugerah Kelestarian Teluk 2022.


Pengarang :